2 Tawarikh 34:3-16 Alkitab Berita Baik (BM)

3. Pada tahun kelapan pemerintahan Raja Yosia, ketika baginda masih muda, baginda mula menyembah Allah yang disembah nenek moyangnya, Raja Daud. Empat tahun kemudian, Raja Yosia mula memusnahkan tempat-tempat penyembahan berhala, lambang-lambang Dewi Asyera, dan semua berhala lain.

4. Dengan arahan Raja Yosia, anak buahnya merobohkan mazbah-mazbah Baal dan mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan yang terdapat di situ. Mereka menghancurkan patung-patung Dewi Asyera dan semua berhala lain, lalu menghamburkan debunya di atas kubur-kubur orang yang menyembah berhala-berhala itu.

5. Kemudian di atas mazbah itu Raja Yosia membakar tulang imam-imam yang menyembah berhala-berhala itu. Dengan demikian baginda menjadikan Yehuda dan Yerusalem suci semula.

6. Hal yang sama dilakukan baginda di kota-kota dan di tempat yang musnah di wilayah Manasye, Efraim, dan Simeon, sampai ke wilayah Naftali di utara.

7. Di seluruh kawasan Kerajaan Utara, Raja Yosia merobohkan dan menghancurkan mazbah-mazbah dan lambang-lambang Dewi Asyera, serta mazbah-mazbah untuk membakar kemenyan. Selepas itu baginda pulang ke Yerusalem.

8. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yosia, selepas baginda menyucikan negeri itu dan Rumah TUHAN dengan menghentikan segala penyembahan berhala, baginda menyuruh tiga orang pegawainya untuk membaiki Rumah TUHAN Allah. Para pegawai itu ialah Safan anak Azalya, Manasye gabenor Yerusalem, dan Yoah anak Yoahas, seorang pegawai tinggi.

9. Wang yang telah dikumpul oleh orang Lewi di Rumah TUHAN, diserahkan kepada Imam Agung Hilkia. Wang itu diterima daripada penduduk Efraim, Manasye, dan bahagian lain di Kerajaan Utara, dan juga daripada penduduk Yehuda, Benyamin, dan Yerusalem.

10. Wang itu diberikan kepada tiga orang yang telah ditugaskan untuk mengawasi pembaikan Rumah TUHAN. Kemudian mereka memberikan wang itu

11. kepada tukang kayu dan pekerja-pekerja yang harus membeli batu dan kayu, untuk membaiki bangunan-bangunan yang telah dibiarkan rosak oleh raja-raja Yehuda.

12. Semua pekerja itu sangat jujur. Mereka diawasi oleh empat orang Lewi, iaitu Yahat dan Obaja daripada puak Merari, dan Zakharia serta Mesulam daripada puak Kehat. Orang Lewi semuanya pemuzik yang mahir.

13. Orang Lewi yang lain bertanggungjawab atas pengangkutan bahan-bahan binaan dan mengawasi tukang-tukang yang melakukan berbagai-bagai pekerjaan. Orang Lewi yang lain pula bertugas dalam pentadbiran, atau sebagai pengawal.

14. Pada masa mereka mengeluarkan wang yang telah dikumpulkan di Rumah TUHAN, Hilkia menemui kitab Taurat TUHAN, Taurat yang diberikan Allah kepada Musa.

15. Hilkia berkata kepada Safan, “Saya telah menemui kitab Taurat di dalam Rumah TUHAN.” Lalu dia memberikan kitab itu kepada Safan,

16. dan Safan pun membawa kitab itu kepada raja dan berkata, “Hamba sekalian telah melakukan segala perintah tuanku.

2 Tawarikh 34