17. Hamba sekalian telah mengambil wang yang di simpan di dalam Rumah TUHAN dan memberikannya kepada para pekerja dan pengawas-pengawas mereka.”
18. Kemudian Safan berkata lagi, “Inilah kitab yang diberikan oleh Hilkia kepada hamba.” Safan membacakan kandungan kitab itu kepada raja.
19. Apabila raja mendengar kandungan kitab itu, baginda mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita.
20. Raja bertitah kepada Hilkia, Ahikam anak Safan, Abdon anak Mikha, Safan setiausaha negeri, dan Asaya hamba raja,
21. “Pergilah minta nasihat TUHAN bagi beta dan bagi segenap rakyat yang masih berada di Israel dan Yehuda, tentang ajaran kitab ini. TUHAN murka terhadap kita kerana nenek moyang kita tidak taat kepada firman TUHAN dan tidak melakukan apa yang tercatat di dalam kitab ini.”
22. Atas perintah raja itu, Hilkia dengan orang lain yang diutus oleh raja, pergi meminta nasihat daripada seorang perempuan bernama Hulda. Dia seorang nabi perempuan yang tinggal di perkampungan baru di Yerusalem. Suaminya, Salum anak Tikwa, cucu Harhas, ialah pengurus pakaian di Rumah TUHAN. Mereka menceritakan apa yang telah berlaku.
23. Kemudian Hulda menyuruh mereka pulang dan memberitahu raja
24. firman TUHAN ini, “Aku akan menghukum Yerusalem serta semua penduduknya dengan kutuk yang tertulis di dalam kitab yang dibacakan kepada raja.
25. Mereka telah menolak Aku, dan telah mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. Perbuatan mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku. Sekarang Aku murka terhadap Yerusalem, dan kemurkaan-Ku tidak akan padam.
26. Tetapi tentang raja sendiri, demikianlah firman-Ku, TUHAN Allah Israel: Engkau telah memperhatikan kandungan kitab itu,
27. dan engkau bertaubat serta merendahkan diri di hadapan-Ku. Engkau mengoyakkan pakaian serta menangis ketika engkau mendengar ancaman-Ku untuk menghukum Yerusalem dan penduduknya. Aku telah mendengar doamu,
28. oleh itu hukuman yang akan Aku jatuhkan kepada Yerusalem tidak akan berlaku semasa hidupmu. Aku akan membenarkan engkau meninggal dengan tenteram.”Utusan-utusan itu pun pulang kepada Raja Yosia dan menyampaikan perkhabaran itu.
29. Raja Yosia memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem,
30. lalu mereka bersama-sama pergi ke Rumah TUHAN. Mereka disertai para imam, orang Lewi dan segenap rakyat, baik yang kaya mahupun yang miskin. Di hadapan mereka semua, raja membacakan seluruh kandungan kitab perjanjian itu, yang telah ditemui di dalam Rumah TUHAN.