2 Tawarikh 33:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Raja Manasye berusia dua belas tahun ketika baginda menjadi raja Yehuda, dan baginda memerintah di Yerusalem selama lima puluh lima tahun.

2. Raja Manasye berdosa terhadap TUHAN, kerana mengikut perbuatan keji yang dilakukan bangsa-bangsa yang telah diusir oleh TUHAN ketika umat-Nya menduduki negeri itu dahulu.

3. Raja Manasye membina semula tempat-tempat penyembahan berhala yang telah dimusnahkan oleh ayahandanya Raja Hizkia. Raja Manasye membina mazbah untuk menyembah Baal dan membuat patung-patung Dewi Asyera. Baginda juga menyembah bintang-bintang.

4. Raja Manasye membina mazbah-mazbah untuk dewa-dewa di dalam Rumah TUHAN, tempat yang ditentukan TUHAN sebagai tempat beribadat kepada-Nya untuk selama-lamanya.

5. Raja Manasye juga membina mazbah-mazbah di kedua-dua halaman Rumah TUHAN untuk menyembah bintang-bintang.

6. Baginda mempersembahkan putera-puteranya di Lembah Hinom sebagai korban yang dibakar. Baginda mengamalkan ilmu tilik dan sihir; baginda berhubungan dengan ahli-ahli nujum dan bomoh. Raja Manasye sangat berdosa terhadap TUHAN dan membangkitkan kemurkaan-Nya.

7. Baginda meletakkan sebuah patung di dalam Rumah TUHAN, padahal tentang tempat itulah Allah telah berfirman kepada Raja Daud dan Raja Salomo puteranya demikian, “Rumah-Ku di Yerusalem ini, yang telah Kupilih dari antara dua belas wilayah suku Israel, ialah tempat yang Kutentukan sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya.

8. Jika umat-Ku Israel taat kepada segala perintah-Ku serta menurut seluruh Taurat yang diberikan kepada mereka oleh Musa, hamba-Ku, maka Aku tidak akan membiarkan mereka diusir dari tanah yang telah Kuberikan kepada nenek moyang mereka.”

2 Tawarikh 33