2 Tawarikh 32:26-33 Alkitab Berita Baik (BM)

3-4. Raja Hizkia dan pegawai-pegawainya mengambil keputusan untuk menutup saluran air di luar kota supaya orang Asyur tidak mendapat air apabila mereka mendekati Yerusalem. Pegawai-pegawai itu mengerahkan banyak orang keluar untuk menutup semua mata air sehingga tiada lagi air yang memancar dari mata air itu.

26. Tetapi akhirnya, Raja Hizkia dan penduduk Yerusalem merendahkan diri, maka TUHAN tidak menghukum mereka selama Raja Hizkia masih hidup.

27. Raja Hizkia menjadi sangat kaya dan setiap orang menghormati baginda. Raja Hizkia membina stor-stor untuk menyimpan emas, perak, batu permata, rempah, perisai, dan barang-barang berharga yang lain.

28. Selain itu, baginda membina stor-stor lain untuk menyimpan gandum, wain, dan minyak zaitun, serta kandang-kandang bagi kawanan lembu dan domba baginda.

29. Allah juga mengurniakan domba dan lembu kepada baginda, serta sangat banyak harta lain sehingga baginda dapat membina banyak kota.

30. Raja Hizkia itulah yang membendung aliran air dari Mata Air Gihon dan menyalurkan airnya melalui saluran di bawah tanah ke dalam kota Yerusalem. Raja Hizkia berjaya dalam apa sahaja yang dibuatnya.

31. Apabila utusan-utusan dari Babilonia datang kepada Raja Hizkia untuk bertanya tentang kejadian luarbiasa yang berlaku di negeri itu, TUHAN membiarkan Raja Hizkia bertindak sendiri, supaya dapat menguji hatinya.

32. Segala perbuatan Raja Hizkia dan kasihnya kepada TUHAN, tercatat di dalam kitab Penglihatan Nabi Yesaya anak Amos, dan di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel.

33. Raja Hizkia mangkat dan dimakamkan di bahagian atas makam diraja. Segenap penduduk Yehuda dan Yerusalem memberikan penghormatan besar kepadanya ketika baginda mangkat. Puteranya Manasye, menggantikan baginda sebagai raja.

2 Tawarikh 32