15. Jangan biarkan Raja Hizkia menipu atau menyesatkan kamu. Jangan percaya kepadanya! Belum pernah dewa bangsa mana pun sanggup menyelamatkan negerinya daripada raja negeri Asyur. Dewa kamu itu pun pasti tidak dapat menyelamatkan kamu!”
16. Utusan-utusan orang Asyur itu mengucapkan banyak lagi kata yang menghina TUHAN Allah dan Raja Hizkia, hamba TUHAN.
17. Surat yang ditulis raja itu menentang TUHAN, Allah Israel. Demikian bunyinya, “Dewa bangsa-bangsa lain belum pernah menyelamatkan pemuja dewa-dewa itu daripada kuasa beta, demikian juga dewa Raja Hizkia tidak dapat menyelamatkan rakyatnya daripada kuasa beta.”
18. Utusan-utusan orang Asyur itu meneriakkan kandungan surat itu dalam bahasa Ibrani untuk menakutkan dan menawarkan hati penduduk Yerusalem yang berada di tembok kota, supaya mereka dapat merebut kota itu dengan lebih mudah.
19. Dengan kata-kata, mereka menyamakan Allah yang disembah di Yerusalem dengan dewa-dewa bangsa lain, iaitu berhala-berhala buatan manusia.
20. Kemudian Raja Hizkia dan Nabi Yesaya anak Amos berdoa kepada Allah dan berseru kepada-Nya meminta pertolongan.
21. TUHAN mengirim satu malaikat yang membunuh askar-askar dan pegawai-pegawai tentera negeri Asyur. Maka raja negeri Asyur pulang ke negerinya dengan sangat malu. Pada suatu hari, ketika raja Asyur berada di kuil berhalanya, beberapa orang puteranya membunuh baginda dengan pedang.
22. Demikianlah caranya TUHAN menyelamatkan Raja Hizkia dan penduduk Yerusalem daripada kuasa Raja Sanherib, penguasa negeri Asyur dan daripada musuh mereka yang lain. TUHAN membolehkan rakyat hidup damai dengan negeri-negeri jiran.
23. Banyak orang datang ke Yerusalem dengan membawa persembahan kepada TUHAN dan hadiah bagi Raja Hizkia. Sejak itu bangsa-bangsa lain menghormati Raja Hizkia.
24. Kira-kira pada masa itu, Raja Hizkia gering sehingga hampir mangkat. Baginda berdoa lalu TUHAN memberikan tanda bahawa baginda akan sembuh.
25. Tetapi Raja Hizkia tidak bersyukur atas kesembuhan yang diberikan oleh TUHAN kepada baginda kerana baginda terlalu sombong. Itulah sebabnya TUHAN menghukum penduduk Yehuda dan Yerusalem.
26. Tetapi akhirnya, Raja Hizkia dan penduduk Yerusalem merendahkan diri, maka TUHAN tidak menghukum mereka selama Raja Hizkia masih hidup.
27. Raja Hizkia menjadi sangat kaya dan setiap orang menghormati baginda. Raja Hizkia membina stor-stor untuk menyimpan emas, perak, batu permata, rempah, perisai, dan barang-barang berharga yang lain.
28. Selain itu, baginda membina stor-stor lain untuk menyimpan gandum, wain, dan minyak zaitun, serta kandang-kandang bagi kawanan lembu dan domba baginda.
29. Allah juga mengurniakan domba dan lembu kepada baginda, serta sangat banyak harta lain sehingga baginda dapat membina banyak kota.