2 Tawarikh 31:1-10 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Selepas perayaan itu selesai, segenap umat Israel pergi ke tiap-tiap kota di Yehuda. Mereka menghancurkan tugu-tugu berhala dan lambang-lambang yang ditahbiskan untuk Dewi Asyera. Mereka memusnahkan mazbah-mazbah dan tempat-tempat penyembahan berhala. Mereka melakukan hal yang sama di tempat-tempat lain di Yehuda, dan di wilayah Benyamin, Efraim, serta Manasye. Selepas itu mereka semua pulang ke tempat masing-masing.

2. Raja Hizkia mendirikan semula kumpulan para imam dan orang Lewi. Tiap-tiap kumpulan diberikan tugas tertentu, termasuk tugas membakar korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, mengambil bahagian dalam upacara ibadat di Rumah TUHAN, dan memuji serta mengucap syukur di beberapa tempat di dalam Rumah TUHAN.

3. Daripada ternakan baginda sendiri, Raja Hizkia menyumbang binatang-binatang yang diperlukan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN yang dipersembahkan pada setiap pagi dan petang, pada hari Sabat, Perayaan Bulan Baru, dan juga pada perayaan-perayaan lain yang ditetapkan di dalam Taurat TUHAN.

4. Selain itu, raja juga menyuruh penduduk Yerusalem memberikan persembahan-persembahan yang ditetapkan bagi para imam dan orang Lewi, supaya mereka dapat menumpukan segala perhatian kepada suruhan Taurat TUHAN.

5. Sebaik sahaja perintah itu diumumkan, umat Israel membawa persembahan gandum yang terbaik, wain, minyak zaitun, madu, dan hasil tanaman yang lain. Mereka juga membawa persepuluhan daripada apa sahaja milik mereka.

6. Semua penduduk Yehuda membawa persepuluhan daripada kawanan lembu dan domba mereka. Mereka juga membawa banyak hadiah lain, yang dipersembahkan kepada TUHAN, Allah mereka.

7. Pemberian itu mula dihantar pada bulan ketiga, dan terus bertambah selama empat bulan.

8. Apabila Raja Hizkia dan pegawai-pegawai nampak betapa banyaknya pemberian yang telah diberikan, mereka memuliakan TUHAN dan memuji umat-Nya, orang Israel.

9. Raja bertanya kepada para imam dan orang Lewi tentang pemberian itu,

10. lalu Imam Agung Azarya, keturunan Zadok, berkata kepada raja, “Sejak rakyat membawa persembahan mereka ke Rumah TUHAN, makanan di situ cukup, bahkan banyak lagi lebihan. Kami mendapat semua pemberian ini kerana TUHAN telah memberkati umat-Nya.”

2 Tawarikh 31