2 Tawarikh 29:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Raja Hizkia menjadi raja Yehuda ketika baginda berusia dua puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh sembilan tahun. Bondanya ialah Abia anak Zakharia.

2. Raja Hizkia melakukan apa yang diperkenankan TUHAN, seperti nenek moyangnya Raja Daud.

3. Pada bulan pertama selepas Raja Hizkia menjadi raja, baginda membuka semula pintu-pintu gerbang Rumah TUHAN serta membaikinya.

4. Raja Hizkia mengumpulkan imam-imam dan orang Lewi di halaman sebelah timur Rumah TUHAN.

5. Raja Hizkia bertitah kepada mereka di situ. Titah baginda, “Hendaklah kamu orang Lewi mentahbiskan diri untuk TUHAN dan menyucikan Rumah TUHAN, Allah nenek moyang kamu. Buanglah semua barang yang menajiskan Rumah TUHAN.

6. Nenek moyang kita tidak setia kepada TUHAN, Allah kita. Mereka telah melakukan apa yang tidak diperkenankan oleh-Nya. Mereka menolak Dia dan tidak mempedulikan tempat kediaman-Nya.

7. Mereka menutup Rumah TUHAN dan memadamkan pelita di situ. Mereka tidak lagi membakar kemenyan, atau mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN di Rumah TUHAN, kepada Allah yang disembah oleh orang Israel.

8. Oleh itu TUHAN murka terhadap Yehuda dan Yerusalem. Kamu semua tahu bahawa tindakan TUHAN menyebabkan tiap-tiap orang terkejut dan takut.

9. Nenek moyang kita dibunuh di medan peperangan, dan anak isteri kita ditawan.

10. Sekarang beta bertekad untuk mengadakan perjanjian dengan TUHAN, Allah Israel, supaya Dia tidak lagi murka terhadap kita.

11. Hai anak-anak beta, jangan buang masa lagi. Kamulah yang telah dipilih oleh TUHAN untuk membakar kemenyan bagi-Nya, serta memimpin rakyat untuk menyembah Dia.”

12-14. Inilah orang Lewi yang hadir pada masa itu:Daripada puak Kehat: Mahat anak Amasai dan Yoel anak Azarya.Daripada puak Merari: Kish anak Abdi dan Azarya anak Yehaleleel.Daripada puak Gerson: Yoah anak Zima dan Eden anak Yoah.Daripada puak Elisafan: Simri dan Yeiel.Daripada puak Asaf: Zakharia dan Matanya.Daripada puak Heman: Yehiel dan Simei.Daripada puak Yedutun: Semaya dan Uziel.

15. Mereka mengumpulkan orang Lewi daripada puak masing-masing, lalu mereka semua menyucikan diri. Sebagaimana yang dititahkan raja, mereka menyucikan Rumah TUHAN menurut Taurat TUHAN.

16. Imam-imam masuk ke dalam Rumah TUHAN untuk menyucikannya. Mereka mengeluarkan semua barang najis ke halaman. Dari situ orang Lewi membawa barang-barang najis itu ke luar kota, ke Lembah Kidron.

17. Pekerjaan itu dimulakan pada hari pertama bulan pertama. Pada hari kelapan, mereka selesai menyucikan seluruh halaman Rumah TUHAN sampai ke bilik depan. Mereka melanjutkan lagi pekerjaan itu selama lapan hari. Pada hari keenam belas bulan itu, mereka selesai menyucikan Rumah TUHAN.

18. Orang Lewi memberi Raja Hizkia laporan berikut, “Kami telah selesai menyucikan seluruh Rumah TUHAN, termasuk mazbah tempat mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan meja untuk roti sajian, dengan segala perkakasnya.

2 Tawarikh 29