7. Tetapi ada seorang nabi menghadap raja dan berkata kepada baginda, “Jangan bawa askar-askar Israel ini bersama-sama tuanku kerana TUHAN tidak menolong orang dari Kerajaan Utara.
8. Tuanku menyangka bahawa mereka akan menguatkan pasukan tuanku ketika bertempur, tetapi Allah sahaja yang berkuasa memberikan kemenangan atau kekalahan. Allah akan membiarkan musuh mengalahkan tuanku.”
9. Raja Amazia bertanya kepada nabi itu, “Tetapi bagaimanakah dengan semua perak yang telah beta berikan untuk mengupah mereka?”Nabi itu menjawab, “TUHAN dapat memberikan lebih daripada itu kepada tuanku!”
10. Oleh itu Raja Amazia menyuruh pasukan yang diupah itu pulang. Kemudian mereka pulang tetapi sangat marah terhadap penduduk Yehuda.
11. Raja Amazia memberanikan diri lalu memimpin tenteranya ke Lembah Asin. Di situ mereka bertempur dan membunuh 10,000 orang askar Edom,
12. dan menangkap sebanyak 10,000 orang lagi. Mereka membawa orang tawanan itu ke puncak bukit batu di kota Sela, lalu mencampakkan mereka ke bawah sehingga mati terhampar di atas batu.
13. Sementara itu pasukan Israel yang tidak dibenarkan Raja Amazia mengikutnya bertempur telah menyerang kota-kota Yehuda di antara Samaria dan Bet-Horon, dan membunuh 3,000 orang. Mereka juga menjarah banyak barang.
14. Ketika Raja Amazia pulang dari pertempuran melawan orang Edom, baginda membawa balik berhala-berhala orang Edom dan menempatkan semua itu di Yehuda. Kemudian baginda menyembah berhala-berhala itu dan membakar kemenyan kepada berhala-berhala itu.
15. Perbuatan itu membangkitkan kemurkaan TUHAN, lalu Dia mengutus seorang nabi kepada Raja Amazia. Nabi itu bertanya kepada baginda, “Mengapakah tuanku menyembah dewa-dewa bangsa asing yang tidak dapat menyelamatkan pemuja dewa-dewa itu sendiri daripada kekuasaan tuanku?”
16. Tetapi Raja Amazia memotong cakap dan bertitah, “Sejak bilakah kami melantik engkau menjadi penasihat raja? Diamlah, jika tidak, engkau akan dibunuh!”Sebelum nabi itu berdiam diri, dia berkata, “Sekarang barulah hamba tahu bahawa Allah telah bertekad untuk membinasakan tuanku kerana segala perbuatan tuanku, dan juga kerana tuanku tidak mengendahkan nasihat hamba.”
17. Raja Amazia dari Yehuda dan penasihat-penasihatnya mengadakan persepakatan melawan Israel. Baginda menghantar seorang pesuruh kepada raja Israel, iaitu Raja Yehoas putera Raja Yehoahas, cucu Raja Yehu, untuk mencabar baginda berperang.