2 Tawarikh 25:19-28 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Hai Raja Amazia, tuanku membesar-besarkan diri kerana tuanku telah mengalahkan orang Edom; tetapi beta menasihatkan tuanku supaya tinggal sahaja di rumah. Mengapa mencari-cari masalah yang akhirnya akan mendatangkan bencana bagi tuanku dan rakyat tuanku?”

20. Raja Amazia tidak mempedulikan nasihat itu. Memang sudah kehendak Allah agar Raja Amazia dikalahkan, kerana baginda telah menyembah berhala-berhala orang Edom.

21. Oleh itu Raja Yehoas dari Israel berperang melawan Raja Amazia dari Yehuda. Mereka bertempur di Bet-Semes di Yehuda.

22. Pasukan tentera Yehuda kalah, lalu askar-askarnya lari ke rumah masing-masing.

23. Raja Yehoas menangkap Raja Amazia lalu membawanya ke Yerusalem. Di sana Raja Yehoas merobohkan tembok kota sepanjang hampir 200 meter dari Pintu Gerbang Efraim sampai ke Pintu Gerbang Sudut.

24. Semua emas dan perak di Rumah TUHAN, serta semua perkakas di bawah pengawasan keturunan Obed-Edom, juga semua harta benda istana, dibawanya ke Samaria. Raja Yehoas juga membawa beberapa orang tebusan.

25. Raja Amazia, raja Yehuda, hidup lima belas tahun lebih lama daripada Raja Yehoas, raja Israel.

26. Segala perbuatan Raja Amazia, dari permulaan hingga akhir pemerintahannya, tercatat di dalam kitab Sejarah Raja-Raja Yehuda dan Israel.

27. Sejak Raja Amazia memberontak terhadap TUHAN, orang berkomplot menentang baginda di Yerusalem. Akhirnya, baginda lari ke kota Lakhis, tetapi musuhnya mengejar baginda lalu membunuh baginda.

28. Jenazah baginda dibawa ke Yerusalem di atas seekor kuda, lalu dimakamkan di makam diraja di Kota Daud.

2 Tawarikh 25