7. Pada masa itu pengikut-pengikut Atalya, perempuan zalim itu, telah merosakkan Rumah TUHAN dan banyak alat yang dikhususkan bagi Allah telah digunakan mereka untuk menyembah Baal.
8. Raja memerintah orang Lewi membuat sebuah peti, lalu meletakkannya di hadapan pintu gerbang Rumah TUHAN.
9. Mereka memberitakan ke seluruh Yerusalem dan Yehuda, bahawa tiap-tiap orang mesti membawa cukai untuk TUHAN, seperti yang diwajibkan oleh Musa, hamba TUHAN itu, di padang gurun dahulu.
10. Rakyat dan pemimpin-pemimpin mereka suka akan cadangan itu, lalu membawa wang cukai mereka dan memenuhkan peti itu.
11. Tiap-tiap hari orang Lewi membawa peti itu kepada pegawai raja untuk diperiksa. Apabila peti itu sudah penuh, setiausaha raja dan wakil Imam Agung mengeluarkan wang itu lalu mengembalikan peti itu di tempatnya. Demikianlah mereka mengumpulkan wang yang banyak sekali.
12. Raja dan Yoyada menyerahkan wang itu kepada pegawai-pegawai yang mengurus pembaikan Rumah TUHAN. Para pegawai itu mengupah tukang batu, tukang kayu, dan tukang besi, untuk melakukan kerja pembaikan itu.
13. Semua tukang itu bekerja keras, dan mereka membaiki Rumah TUHAN sehingga menjadi kukuh dan baik seperti dahulu.
14. Setelah pekerjaan itu selesai, lebihan emas, dan perak itu diberikan kepada raja dan Yoyada. Emas dan perak itu digunakan untuk membuat perkakas-perkakas bagi Rumah TUHAN: alat-alat untuk upacara ibadat dan bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan juga mangkuk-mangkuk, serta alat-alat lain.Selama Yoyada hidup, korban untuk menyenangkan hati TUHAN selalu dipersembahkan di Rumah TUHAN.
15. Yoyada mencapai umur yang sangat lanjut dan meninggal ketika dia berumur 130 tahun.
16. Dia dikebumikan di makam diraja di Kota Daud, sebagai penghargaan bagi jasanya kepada Allah, Rumah TUHAN, dan umat Israel.
17. Tetapi setelah Yoyada meninggal, pemimpin-pemimpin Yehuda mempengaruhi Raja Yoas supaya mendengar nasihat mereka.
18. Oleh itu rakyat tidak lagi beribadat di Rumah TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Sebaliknya mereka mula menyembah berhala dan patung-patung Dewi Asyera. Dosa mereka itu menyebabkan TUHAN murka terhadap Yehuda dan Yerusalem.
19. TUHAN mengutus nabi-nabi untuk memberikan amaran kepada mereka supaya kembali mengabdi kepada-Nya, tetapi mereka tidak mahu mendengarkan.
20. Kemudian Roh Allah menguasai Zakharia anak Yoyada, imam itu. Zakharia berdiri di tempat yang dapat dilihat orang ramai, lalu berseru, “TUHAN Allah berfirman, ‘Mengapa kamu tidak taat kepada perintah-Ku sehingga mendatangkan bencana kepada diri kamu sendiri? Kamu telah meninggalkan Aku; oleh itu Aku juga meninggalkan kamu!’ ”
21. Raja Yoas ikut berpakat dengan rakyat untuk menentang Zakharia, maka dengan titah raja, rakyat merejam Zakharia di halaman Rumah TUHAN.