2 Tawarikh 20:7-25 Alkitab Berita Baik (BM)

7. Engkaulah Allah kami. Ketika umat-Mu Israel pindah ke negeri ini, Engkau mengusir bangsa yang tinggal di sini dan memberikan tanah ini kepada keturunan Abraham, sahabat-Mu, untuk menjadi pusaka mereka selama-lamanya.

8. Mereka sudah tinggal di sini dan membina sebuah rumah ibadat untuk menghormati Engkau. Mereka tahu

9. bahawa jika mereka dihukum dengan bencana, sama ada peperangan, wabak, atau kelaparan, mereka dapat datang kepada-Mu dan berdiri di hadapan rumah ibadat ini. Ketika dalam kesusahan, mereka dapat berdoa kepada-Mu dan Engkau akan mendengar serta menolong mereka.

10. Sekarang orang Amon, Moab, dan Edom menyerang kami. Ketika nenek moyang kami keluar dari Mesir dahulu, Engkau tidak membenarkan mereka masuk ke negeri-negeri itu. Oleh itu mereka mengambil jalan keliling dan tidak membinasakan bangsa-bangsa itu.

11. Sekarang lihatlah cara mereka membalas kami - mereka datang untuk mengusir kami dari tanah yang Engkau berikan kepada kami.

12. Engkaulah Allah kami! Hukumlah mereka, kerana kami tidak berdaya melawan tentera besar yang menyerang kami. Kami tidak tahu apa yang harus kami lakukan, tetapi kami datang kepada-Mu meminta tolong.”

13. Semua kaum lelaki Yehuda, bersama-sama anak isteri mereka, berdiri di Rumah TUHAN.

14. Lalu Roh TUHAN menguasai seorang Lewi yang hadir di tengah-tengah orang ramai itu. Namanya Yahaziel anak Zakharia, seorang daripada puak Asaf, iaitu keturunan Benaya, Yeiel, dan Matanya.

15. Yahaziel berkata, “Tuanku dan semua penduduk Yehuda dan Yerusalem, TUHAN berfirman bahawa kamu tidak boleh putus asa atau takut menghadapi pasukan yang besar ini, kerana yang bertempur bukan kamu, melainkan Allah.

16. Esok seranglah mereka, pada masa mereka mendaki Genting Zis. Kamu akan menemui mereka di hujung lembah yang menuju ke padang gurun dekat Yeruel.

17. Kamu tidak perlu bertempur dalam peperangan ini. Ambillah tempat kamu lalu tunggulah. Kamu akan melihat TUHAN memberi kamu kemenangan. Janganlah takut atau ragu-ragu, hai penduduk Yehuda dan Yerusalem! Hadapilah musuh; TUHAN akan menyertai kamu!”

18. Selepas itu Raja Yosafat bersujud dan semua rakyat pun bersujud bersama-sama baginda dan menyembah TUHAN.

19. Puak Kehat dan Korah daripada suku Lewi berdiri, lalu bersorak memuji TUHAN, Allah Israel.

20. Keesokan paginya mereka semua pergi ke padang gurun dekat Tekoa. Ketika mereka berangkat, Raja Yosafat bertitah kepada mereka, “Hai penduduk Yehuda dan Yerusalem, percayalah kepada TUHAN, Allah kamu, maka kamu akan sanggup bertahan! Percayalah kepada nasihat nabi-nabi-Nya, maka kamu akan berjaya.”

21. Setelah berunding dengan rakyat, raja memerintah beberapa orang penyanyi supaya memakai pakaian yang biasanya dipakai pada upacara-upacara agama. Para penyanyi itu mesti berjalan di hadapan tentera sambil menyanyi, “Pujilah TUHAN! Kasih-Nya kekal abadi!”

22. Apabila mereka mula menyanyi, TUHAN menimbulkan kekacauan di tengah-tengah musuh yang hendak menyerang mereka.

23. Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit.

24. Apabila tentera Yehuda sampai di sebuah menara di padang gurun, mereka memandang ke arah musuh dan nampak semua musuh mati terlentang di tanah. Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup.

25. Raja Yosafat dan tenteranya pergi menjarah harta barang-barang musuh. Mereka mendapat banyak ternakan, bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga. Selama tiga hari mereka mengumpulkan barang jarahan itu, tetapi mereka tidak dapat mengambil semuanya kerana barang-barang itu terlalu banyak.

2 Tawarikh 20