2 Tawarikh 20:23-35 Alkitab Berita Baik (BM)

23. Tentera Amon dan Moab menyerang tentera Edom dan memusnahkannya sama sekali. Kemudian mereka pula menyerang satu sama lain dengan sengit.

24. Apabila tentera Yehuda sampai di sebuah menara di padang gurun, mereka memandang ke arah musuh dan nampak semua musuh mati terlentang di tanah. Tiada seorang pun daripada tentera musuh yang hidup.

25. Raja Yosafat dan tenteranya pergi menjarah harta barang-barang musuh. Mereka mendapat banyak ternakan, bekalan, pakaian, dan barang-barang berharga. Selama tiga hari mereka mengumpulkan barang jarahan itu, tetapi mereka tidak dapat mengambil semuanya kerana barang-barang itu terlalu banyak.

26. Pada hari keempat, mereka berkumpul di Lembah Beraka, lalu memuji TUHAN bagi segala yang telah dilakukan-Nya. Itulah sebabnya lembah itu dinamakan Lembah Beraka.

27. Demikianlah Raja Yosafat memimpin tenteranya kembali ke Yerusalem dengan kemenangan, kerana TUHAN telah mengalahkan musuh mereka.

28. Ketika mereka sampai di kota, mereka pergi ke Rumah TUHAN, dengan iringan kecapi dan trompet.

29. Tiap-tiap bangsa menjadi takut apabila mendengar tentang cara TUHAN mengalahkan musuh Israel.

30. Dengan demikian Raja Yosafat dapat memerintah dengan aman, dan Allah memberi Raja Yosafat ketenteraman di seluruh negeri.

31. Raja Yosafat menjadi raja Yehuda ketika baginda berumur tiga puluh lima tahun, dan baginda memerintah di Yerusalem selama dua puluh lima tahun. Bondanya ialah Azuba anak Silhi.

32. Seperti ayahandanya dahulu, Raja Yosafat melakukan apa yang benar di sisi TUHAN,

33. tetapi tempat-tempat penyembahan berhala tidak dimusnahkan. Rakyat belum juga beribadat dengan sepenuh hati kepada Allah nenek moyang mereka.

34. Segala perbuatan Raja Yosafat, dari permulaan pemerintahannya sehingga akhir, tercatat di dalam kitab Sejarah Yehu Anak Hanani, iaitu sebahagian daripada kitab Sejarah Raja-Raja Israel.

35. Pada suatu masa, Raja Yosafat mengadakan hubungan persahabatan dengan Raja Ahazia dari Israel, yang melakukan banyak kejahatan.

2 Tawarikh 20