2 Tawarikh 18:22-32 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah menyebabkan nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.”

23. Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?”

24. Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.”

25. Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada gabenor kota, iaitu Amon, dan Putera Yoas.

26. Suruh mereka masukkan dia ke dalam penjara, dan beri dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”

27. Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini!”

28. Kemudian Raja Ahab dari Israel dan Raja Yosafat dari Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead.

29. Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian raja.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.

30. Raja negeri Siria telah memerintah panglima pasukan kereta kudanya supaya tidak menyerang sesiapa pun kecuali raja Israel.

31. Apabila mereka nampak Raja Yosafat, mereka menyangka bahawa baginda raja Israel. Oleh itu mereka berpaling dan menyerang baginda. Tetapi apabila Raja Yosafat berteriak, TUHAN Allah menolong baginda dan mengalihkan serangan itu ke arah lain.

32. Panglima pasukan kereta kuda itu sedar bahawa raja itu bukan raja Israel, lalu mereka berhenti menyerang baginda.

2 Tawarikh 18