2 Tawarikh 18:18-29 Alkitab Berita Baik (BM)

18. Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya.

19. TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza.

20. Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’

21. Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ”

22. Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah menyebabkan nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka.”

23. Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?”

24. Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.”

25. Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada gabenor kota, iaitu Amon, dan Putera Yoas.

26. Suruh mereka masukkan dia ke dalam penjara, dan beri dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.”

27. Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini!”

28. Kemudian Raja Ahab dari Israel dan Raja Yosafat dari Yehuda pergi menyerang kota Ramot di Gilead.

29. Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Apabila kita bertempur, beta akan menyamar, tetapi tuanku akan memakai pakaian raja.” Oleh itu raja Israel menyamar ketika pergi bertempur.

2 Tawarikh 18