1. Apabila Raja Yosafat dari Yehuda menjadi kaya dan termasyhur, baginda mengahwinkan seorang kerabatnya dengan seorang kerabat Raja Ahab di Israel.
2. Beberapa tahun kemudian, Raja Yosafat pergi melawat Raja Ahab di kota Samaria. Raja Ahab mengadakan jamuan dan menyuruh orang menyembelih banyak lembu dan domba untuk menghormati Raja Yosafat dan rombongannya. Raja Ahab cuba memujuk Raja Yosafat supaya mengikut baginda menyerang kota Ramot di Gilead.
3. Raja Ahab bertanya, “Mahukah tuanku menyertai beta untuk menyerang Ramot?”Raja Yosafat menjawab, “Beta bersedia menyertai tuanku. Demikian juga tentera beta. Kami akan berperang bersama-sama tuanku.”
4. Raja Yosafat bertitah lagi, “Tetapi marilah kita bertanya kepada TUHAN dahulu.”
5. Oleh itu Raja Ahab memanggil nabi-nabi, yang berjumlah kira-kira empat ratus orang. Baginda bertanya kepada mereka, “Bolehkah beta menyerang Ramot atau tidak?”“Seranglah,” jawab mereka. “Allah akan memberikan kemenangan kepada tuanku.”
6. Tetapi Raja Yosafat bertanya lagi, “Tiadakah nabi lain yang dapat menanyakan hal ini kepada TUHAN?”
7. Raja Ahab menjawab, “Ada seorang lagi, Mikha anak Yimla. Tetapi beta membenci dia, kerana dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta; dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk.”Raja Yosafat menjawab, “Tuanku tidak seharusnya berkata demikian.”
8. Oleh itu Raja Ahab memanggil seorang pegawai istana dan menyuruh dia cepat-cepat menjemput Mikha.
9. Kedua-dua orang raja itu, dengan berpakaian kebesaran, bersemayam di atas takhta, di tempat mengirik gandum, di luar pintu gerbang Samaria. Semua nabi sedang bernubuat di hadapan mereka berdua.
10. Zedekia anak Kenaana, salah seorang nabi itu, membuat beberapa buah tanduk besi lalu berkata kepada Raja Ahab, “Demikianlah firman TUHAN, ‘Dengan tanduk-tanduk besi ini engkau akan melawan orang Siria sehingga mereka kalah sama sekali.’ ”
11. Semua nabi yang lain juga berkata demikian. Mereka berkata, “Majulah menyerang Ramot. Tuanku pasti menang. TUHAN akan memberi tuanku kemenangan.”