2 Tawarikh 17:6-17 Alkitab Berita Baik (BM)

6. Raja Yosafat berbangga kerana mengabdi kepada TUHAN; baginda memusnahkan semua tempat penyembahan berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera di Yehuda.

7. Pada tahun ketiga pemerintahannya, baginda mengutus pegawai-pegawai untuk mengajar di kota-kota Yehuda. Mereka terdiri daripada Benhail, Obaja, Zakharia, Netaneel, dan Mikha.

8. Mereka diiringi oleh sembilan orang Lewi dan dua orang imam. Orang Lewi itu ialah Semaya, Netanya, Zebaja, Asael, Semiramot, Yonatan, Adonia, Tobia, dan Tob-Adonia; imam-imam itu ialah Elisama dan Yoram.

9. Mereka membawa kitab Taurat TUHAN, lalu menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengajar rakyat di sana.

10. TUHAN membuat semua kerajaan di sekitar Yehuda takut berperang melawan Raja Yosafat.

11. Sebilangan orang Filistin memberi Raja Yosafat banyak perak dan hadiah yang lain. Ada pula orang Arab yang memberinya 7,700 ekor domba dan 7,700 ekor kambing.

12. Demikianlah Raja Yosafat menjadi semakin berkuasa. Di seluruh Yehuda baginda membina kubu-kubu dan kota-kota.

13. Baginda menyimpan perbekalan yang banyak di kota-kota itu.Di Yerusalem baginda menempatkan pahlawan-pahlawan yang perkasa

14. menurut puak masing-masing. Adna menjadi panglima utama puak-puak Yehuda, dan dia memimpin 300,000 orang askar.

15. Panglima kedua ialah Yohanan; dia memimpin 280,000 orang askar.

16. Panglima ketiga ialah Amasia anak Zikhri; dia memimpin 200,000 orang askar. (Amasia mengabdi kepada TUHAN dengan sukarela.)

17. Elyada menjadi panglima utama puak-puak Benyamin, dan dia memimpin 200,000 orang askar yang bersenjatakan perisai dan busur.

2 Tawarikh 17