1. Raja Yosafat menggantikan ayahandanya Raja Asa sebagai raja, dan baginda mengukuhkan kedudukannya untuk melawan Israel.
2. Raja Yosafat menempatkan tentera di kota-kota berkubu di Yehuda, di kawasan desa Yehuda, dan di kota-kota yang telah direbut oleh Raja Asa di wilayah Efraim.
3. TUHAN memberkati Raja Yosafat kerana baginda mengikut teladan ayahandanya semasa ayahandanya masih muda; Raja Yosafat tidak menyembah Baal.
4. Baginda mengabdi kepada Allah ayahandanya, taat kepada perintah Allah, dan tidak hidup seperti raja-raja Israel.
5. TUHAN menguatkan pemerintahannya di Yehuda, dan semua orang memberikan hadiah kepadanya sehingga baginda menjadi kaya dan sangat dihormati.
6. Raja Yosafat berbangga kerana mengabdi kepada TUHAN; baginda memusnahkan semua tempat penyembahan berhala dan lambang-lambang Dewi Asyera di Yehuda.
7. Pada tahun ketiga pemerintahannya, baginda mengutus pegawai-pegawai untuk mengajar di kota-kota Yehuda. Mereka terdiri daripada Benhail, Obaja, Zakharia, Netaneel, dan Mikha.
8. Mereka diiringi oleh sembilan orang Lewi dan dua orang imam. Orang Lewi itu ialah Semaya, Netanya, Zebaja, Asael, Semiramot, Yonatan, Adonia, Tobia, dan Tob-Adonia; imam-imam itu ialah Elisama dan Yoram.
9. Mereka membawa kitab Taurat TUHAN, lalu menjelajahi semua kota di Yehuda dan mengajar rakyat di sana.
10. TUHAN membuat semua kerajaan di sekitar Yehuda takut berperang melawan Raja Yosafat.
11. Sebilangan orang Filistin memberi Raja Yosafat banyak perak dan hadiah yang lain. Ada pula orang Arab yang memberinya 7,700 ekor domba dan 7,700 ekor kambing.