3. Raja Abia mengerahkan tentera sebanyak 400,000 orang, dan Raja Yerobeam melawan baginda dengan tentera sebanyak 800,000 orang.
4. Kedua-dua pasukan tentera itu berhadapan di perbukitan Efraim. Raja Abia naik ke Gunung Zemaraim lalu berseru kepada Raja Yerobeam dan tentera Israel, “Dengarlah!
5. Kamu tahu bahawa TUHAN Allah Israel telah membuat satu perjanjian dengan Raja Daud bahawa baginda dan keturunannya akan memerintah Israel selama-lamanya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan.
6. Yerobeam anak Nebat telah memberontak terhadap rajanya, Raja Salomo.
7. Kemudian dia mengumpulkan beberapa orang penjahat dan mengalahkan Raja Rehabeam putera Raja Salomo, yang ketika itu masih terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk mempertahankan diri.
8. Sekarang kamu pun hendak melawan kekuasaan yang diberikan TUHAN kepada keturunan Raja Daud. Kamu mempunyai tentera yang besar dan patung-patung anak lembu jantan daripada emas yang dibuat oleh Yerobeam sebagai dewa-dewa kamu.