1. Pada tahun kelapan belas pemerintahan Raja Yerobeam di Israel, Abia menjadi raja di Yehuda.
2. Raja Abia memerintah di Yerusalem selama tiga tahun. Bonda baginda ialah Mikhaya anak Uriel dari Gibea.Apabila peperangan berlaku antara Raja Abia dan Raja Yerobeam,
3. Raja Abia mengerahkan tentera sebanyak 400,000 orang, dan Raja Yerobeam melawan baginda dengan tentera sebanyak 800,000 orang.
4. Kedua-dua pasukan tentera itu berhadapan di perbukitan Efraim. Raja Abia naik ke Gunung Zemaraim lalu berseru kepada Raja Yerobeam dan tentera Israel, “Dengarlah!
5. Kamu tahu bahawa TUHAN Allah Israel telah membuat satu perjanjian dengan Raja Daud bahawa baginda dan keturunannya akan memerintah Israel selama-lamanya. Perjanjian itu tidak dapat dibatalkan.
6. Yerobeam anak Nebat telah memberontak terhadap rajanya, Raja Salomo.
7. Kemudian dia mengumpulkan beberapa orang penjahat dan mengalahkan Raja Rehabeam putera Raja Salomo, yang ketika itu masih terlalu muda dan tidak berpengalaman untuk mempertahankan diri.
8. Sekarang kamu pun hendak melawan kekuasaan yang diberikan TUHAN kepada keturunan Raja Daud. Kamu mempunyai tentera yang besar dan patung-patung anak lembu jantan daripada emas yang dibuat oleh Yerobeam sebagai dewa-dewa kamu.
9. Kamu telah mengusir imam-imam TUHAN, iaitu imam-imam keturunan Harun dan kamu juga mengusir orang Lewi. Sebagai ganti mereka, kamu melantik imam menurut kebiasaan bangsa-bangsa lain. Sesiapa yang datang dengan seekor lembu jantan atau dengan tujuh ekor domba, dapat dilantik menjadi imam untuk sesuatu yang bukan Allah.
10. Tetapi kami masih mengabdi kepada TUHAN, Allah kami. Kami tidak meninggalkan Dia. Imam-imam keturunan Harun melakukan tugas mereka sambil dibantu orang Lewi.
11. Tiap-tiap pagi dan petang mereka mempersembahkan kemenyan, dan juga binatang sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Mereka mempersembahkan roti sajian di atas meja yang dikhaskan, dan tiap-tiap malam mereka menyalakan pelita-pelita pada kaki pelita emas. Kami melakukan perintah TUHAN, tetapi kamu telah menolak Dia.
12. Allah sendiri yang menjadi pemimpin kami. Imam-imam-Nya berada di sini dan bersiap meniup trompet sebagai tanda bagi kami untuk menyerang kamu. Hai rakyat Israel, jangan lawan TUHAN, Allah nenek moyang kamu! Kamu tidak mungkin menang!”