2 Samuel 8:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Beberapa waktu kemudian, Raja Daud menyerang orang Filistin lagi. Baginda mengalahkan mereka dan merebut tanah mereka.

2. Kemudian Raja Daud mengalahkan orang Moab. Baginda menyuruh orang tawanannya berbaring di atas tanah, lalu baginda membunuh dua orang daripada tiap-tiap tiga orang. Oleh itu orang Moab takluk kepada Raja Daud dan membayar ufti kepadanya.

3. Selepas itu Raja Daud mengalahkan Hadadezer anak Rehob, raja di Zoba di negeri Siria. Pada masa itu Hadadezer sedang dalam perjalanan pulang untuk memulihkan kekuasaannya di wilayah hulu Sungai Efrat.

4. Raja Daud menawan sebanyak 1,700 orang askar berkuda dan 20,000 orang askar yang berjalan kaki. Dia melumpuhkan semua kuda, kecuali sebilangan yang cukup untuk menarik seratus buah kereta kuda.

5. Apabila orang Siria dari Damsyik mengirim tentera untuk menolong Raja Hadadezer, Raja Daud menyerang tentera itu dan membunuh 22,000 orang.

6. Kemudian Raja Daud mendirikan perkhemahan tentera di dalam wilayah mereka, lalu mereka takluk dan membayar ufti kepada baginda. TUHAN memberi Raja Daud kemenangan di mana sahaja baginda berperang.

7. Raja Daud merampas perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Raja Hadadezer, lalu membawa semuanya ke Yerusalem.

8. Raja Daud juga merampas banyak gangsa dari Betah dan Berotai, kota-kota yang dahulu dikuasai oleh Raja Hadadezer.

9. Raja Tou dari negeri Hamat mendengar bahawa Raja Daud telah mengalahkan seluruh tentera Raja Hadadezer.

10. Oleh itu Raja Tou mengutus puteranya Yoram untuk memberikan salam kepada Raja Daud dan mengucapkan tahniah bagi kemenangannya terhadap Raja Hadadezer, kerana Raja Tou telah sering berperang dengan Raja Hadadezer. Yoram datang kepada Raja Daud dengan membawa banyak hadiah daripada emas, perak, dan gangsa.

11. Raja Daud mempersembahkan semua hadiah itu kepada TUHAN untuk digunakan dalam upacara ibadat. Demikian juga dilakukannya dengan perak dan emas yang dirampasnya dari negeri-negeri yang telah dikalahkannya,

12. iaitu Edom, Moab, Amon, Filistin, dan negeri orang Amalek. Raja Daud juga mempersembahkan sebahagian daripada barang-barang yang dirampasnya daripada Raja Hadadezer.

2 Samuel 8