2. Kemudian Raja Daud bertitah kepada Nabi Natan, “Lihatlah, beta tinggal di dalam istana yang diperbuat daripada kayu sedar, sedangkan Tabut Perjanjian Allah disimpan di dalam khemah!”
3. Natan menjawab, “Lakukanlah apa saja kehendak tuanku, kerana TUHAN menolong tuanku.”
4. Tetapi malam itu TUHAN berfirman kepada Natan,
5. “Pergilah beritahu hamba-Ku Daud, firman-Ku ini, ‘Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku.
6. Sejak Aku menyelamatkan umat Israel dari Mesir sehingga kini, belum pernah Aku tinggal di dalam sebuah rumah. Aku mengembara dan tinggal di dalam khemah.
7. Selama perjalanan-Ku dengan umat Israel, belum pernah Aku bertanya kepada sesiapa pun pemimpin yang Aku pilih, apa sebabnya mereka tidak membina rumah daripada kayu sedar untuk Aku.’
8. Oleh itu beritahulah hamba-Ku Raja Daud bahawa inilah firman-Ku, TUHAN Yang Maha Kuasa, kepadanya, ‘Aku sudah mengambil engkau daripada menjaga domba di padang dan Aku telah menjadikan engkau pemimpin umat-Ku Israel.
9. Aku telah menyertai engkau ke mana saja engkau pergi, dan Aku telah mengalahkan musuhmu ketika engkau bertempur. Sekarang Aku akan menjadikan engkau termasyhur seperti pemimpin-pemimpin terkemuka di dunia.