14. Aku akan menjadi bapanya dan dia menjadi anak-Ku. Apabila dia berbuat salah, Aku akan menghukum dia seperti seorang bapa menghukum anaknya.
15. Tetapi Aku akan tetap mengasihinya sesuai dengan janji-Ku. Janji-Ku dengan dia akan tetap Aku pegang, dan tidak seperti yang Kulakukan kepada Saul yang telah Kusingkirkan daripada kedudukannya supaya engkau dapat menjadi raja.
16. Engkau akan sentiasa mempunyai keturunan dan Aku akan mengekalkan kerajaanmu. Kerajaanmu tidak akan berkesudahan.’ ”
17. Demikianlah Natan memberitahu Raja Daud segala yang telah dinyatakan oleh Allah kepadanya.
18. Selepas itu Raja Daud masuk ke dalam Khemah TUHAN. Baginda duduk lalu berdoa, “Ya TUHAN Raja, aku dan keluargaku tidak layak menerima segala kebaikan yang telah Engkau tunjukkan kepadaku selama ini.
19. Namun sekarang Engkau melakukan lebih daripada semua itu, ya TUHAN Raja. Engkau telah berjanji tentang keturunanku pada masa hadapan, dan Engkau membenarkan aku melihat hal ini, walaupun aku hanya manusia, ya TUHAN Raja!
20. Apa lagi yang dapat kukatakan kepada-Mu! Engkau mengetahui segala sesuatu tentang hamba-Mu ini.
21. Oleh sebab janji dan kehendak-Mu sendiri, Engkau melakukan perbuatan-perbuatan besar itu untuk mengajar hamba-Mu ini.
22. Engkau sungguh agung, ya TUHAN Raja! Engkau tiada tandingan; sejak dahulu kami telah tahu bahawa Engkaulah satu-satunya Allah.
23. Di seluruh muka bumi ini, tiada bangsa lain seperti Israel, yang telah Engkau selamatkan daripada perhambaan, serta menjadikan mereka umat-Mu sendiri. Perbuatan besar dan ajaib itu, yang telah Engkau lakukan bagi mereka, sudah memasyhurkan nama-Mu di seluruh dunia. Engkau mengusir bangsa-bangsa lain dan dewa-dewa mereka apabila umat-Mu maju bertempur, umat yang Engkau selamatkan dari Mesir untuk menjadi umat-Mu sendiri.
24. Engkau telah menjadikan Israel umat-Mu selama-lamanya. Engkau, ya TUHAN, sudah menjadi Allah mereka.
25. Sekarang, ya TUHAN Allah, tepatilah janji yang Engkau ucapkan tentang diriku dan keturunanku, untuk sepanjang masa. Laksanakanlah apa yang sudah Engkau janjikan itu.
26. Nama-Mu akan termasyhur dan untuk selama-lamanya orang akan berkata, ‘TUHAN Yang Maha Kuasa ialah Allah umat Israel!’ Oleh itu, Engkau akan memastikan supaya seorang daripada keturunanku akan memerintah sebagai raja bangsa ini untuk sepanjang masa.