1. Sekali lagi Raja Daud mengumpulkan askar-askar yang terbaik di Israel, sebanyak tiga puluh ribu orang.
2. Baginda memimpin mereka ke Baale di Yehuda, untuk mengambil Tabut Perjanjian yang disebut dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, yang bertakhta di atas kerub.
3. Mereka mengambil Tabut Perjanjian itu dari rumah Abinadab di atas bukit, lalu meletakkannya di atas sebuah kereta lembu yang baru. Kereta lembu itu diiringi oleh anak-anak Abinadab, Uza, dan Ahio. Uza berjalan disamping kereta lembu itu,
4. dan Ahio berjalan di hadapannya.
5. Raja Daud dan semua orang Israel berjalan di hadapan Tabut Perjanjian sambil menari dan menyanyi dengan segenap tenaga mereka untuk menghormati TUHAN. Mereka bermain kecapi, gambus, rebana, kelentung, dan ceracap.
6. Apabila mereka sampai di tempat mengirik gandum kepunyaan Nakhon, lembu-lembu itu tergelincir, lalu Uza menghulurkan tangan dan memegang Tabut Perjanjian.
7. Pada saat itu juga TUHAN Allah murka dengan Uza dan membunuh dia, kerana perbuatannya itu merupakan penghinaan kepada TUHAN. Uza mati di sebelah Tabut Perjanjian.
8. Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Peres-Uza. Raja Daud murka kerana TUHAN telah membinasakan Uza.
9. Tetapi Raja Daud takut juga akan TUHAN. Raja Daud bertitah, “Sekarang bagaimanakah beta dapat membawa Tabut Perjanjian itu?”
10. Oleh itu baginda tidak mahu lagi membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem. Sebaliknya baginda membawa Tabut Perjanjian itu ke rumah Obed-Edom, orang yang berasal dari Gat.
11. Tabut Perjanjian berada di sana selama tiga bulan, dan TUHAN memberkati Obed-Edom serta keluarganya.
12. Raja Daud mendengar bahawa TUHAN telah memberkati keluarga Obed-Edom dan segala yang ada padanya, kerana Tabut Perjanjian. Maka Raja Daud pergi ke rumah Obed-Edom dan mengambil Tabut Perjanjian itu. Baginda memindahkan Tabut Perjanjian ke Yerusalem dengan perayaan besar.
13. Setelah orang yang mengangkat Tabut Perjanjian melangkah maju enam langkah, Raja Daud menyuruh mereka berhenti. Lalu baginda mempersembahkan korban kepada TUHAN, iaitu seekor lembu jantan dan seekor anak lembu yang digemukkan.
14. Raja Daud menari-nari dengan penuh semangat untuk menghormati TUHAN. Pada waktu itu baginda hanya memakai kain linen pendek yang diikat pada pinggangnya.
15. Demikianlah Raja Daud dan segenap rakyat Israel membawa Tabut Perjanjian ke Yerusalem sambil bersorak-sorai dengan diiringi tiupan trompet.
16. Ketika Tabut Perjanjian dibawa masuk ke dalam kota, Mikhal puteri Raja Saul, menjenguk dari jendela lalu nampak Raja Daud menari-nari dan melompat-lompat untuk menghormati TUHAN. Mikhal berasa muak melihat Raja Daud.
17. Kemudian mereka meletakkan Tabut Perjanjian di tempatnya di dalam khemah yang sudah didirikan oleh Raja Daud untuk Tabut Perjanjian. Raja Daud mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.