4. Raja Daud berusia tiga puluh tahun ketika menjadi raja, dan baginda memerintah selama empat puluh tahun.
5. Baginda memerintah di Hebron sebagai raja Yehuda selama tujuh tahun setengah, dan di Yerusalem sebagai raja seluruh Israel dan Yehuda selama tiga puluh tiga tahun.
6. Pada suatu hari Raja Daud dan anak buah baginda berangkat untuk menyerang Yerusalem. Orang Yebusi yang tinggal di situ menyangka bahawa Raja Daud tidak sanggup mengalahkan kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Engkau tidak sekali-kali dapat masuk ke sini. Bahkan orang buta dan tempang pun dapat mengusir engkau.” (
7. Tetapi Raja Daud benar-benar dapat merampas Sion, kubu pertahanan mereka. Sejak itulah kubu itu dinamakan “Kota Daud.”)
8. Pada hari itu Raja Daud bertitah kepada anak buahnya, “Adakah sesiapa di sini yang membenci orang Yebusi seperti beta membenci mereka? Cukup bencikah dia sehingga dia ingin sekali membunuh mereka? Jika begitu, masuklah melalui saluran air dan seranglah orang buta dan orang tempang yang beta benci itu.” (Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang dilarang masuk ke dalam Rumah TUHAN.”)
9. Setelah Raja Daud merampas kubu Sion, baginda tinggal di situ dan menamakannya “Kota Daud.” Baginda membina kota di sekeliling kubu itu, bermula dari sebelah timur bukit yang ditimbusi tanah.
10. Raja Daud semakin lama semakin kuat kerana TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa menolong baginda.
11. Raja Hiram, dari negeri Tirus, mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud. Raja Hiram memberi Raja Daud kayu sedar, tukang-tukang kayu, dan tukang-tukang batu untuk membina istana.
12. Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan diri baginda sebagai raja Israel, dan telah menjadikan kerajaan baginda makmur untuk kepentingan umat TUHAN.
13. Setelah Raja Daud pindah dari Hebron ke Yerusalem, baginda mempunyai lebih banyak lagi isteri dan gundik, serta putera dan puteri.
14. Inilah putera-putera Raja Daud yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo,
15. Yibhar, Elisua, Nefeg, Yafia,
16. Elisama, Elyada, dan Elifelet.
17. Apabila orang Filistin mengetahui bahawa Raja Daud telah dilantik menjadi raja Israel, tentera mereka keluar untuk menangkap baginda. Tetapi apabila Raja Daud mendengar hal itu, baginda pergi berlindung di sebuah tempat yang berkubu.
18. Orang Filistin tiba di Lembah Refaim dan menduduki lembah itu.
19. Raja Daud bertanya kepada TUHAN, “Haruskah aku menyerang orang Filistin? Adakah Engkau akan memberi aku kemenangan?”“Seranglah!” jawab TUHAN. “Aku akan memberi engkau kemenangan.”
20. Oleh itu Daud pergi ke Baal-Perasim dan mengalahkan orang Filistin. Baginda bertitah, “TUHAN sudah merempuh pertahanan musuh beta, seperti banjir melanda segala sesuatu dalam seketika.” Itulah sebabnya tempat itu dinamakan Baal-Perasim.