1. Kemudian semua suku Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Mereka berkata kepada baginda, “Kami ini kerabat tuanku.
2. Sejak dahulu, bahkan ketika Raja Saul masih raja kami, tuanku telah pun memimpin tentera Israel berperang. TUHAN juga sudah berjanji kepada tuanku bahawa tuanku akan memimpin umat-Nya dan menjadi raja mereka.”
3. Demikianlah semua pemimpin Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Raja Daud mengadakan perjanjian dengan mereka, lalu mereka melantik baginda menjadi raja Israel.
4. Raja Daud berusia tiga puluh tahun ketika menjadi raja, dan baginda memerintah selama empat puluh tahun.
5. Baginda memerintah di Hebron sebagai raja Yehuda selama tujuh tahun setengah, dan di Yerusalem sebagai raja seluruh Israel dan Yehuda selama tiga puluh tiga tahun.
6. Pada suatu hari Raja Daud dan anak buah baginda berangkat untuk menyerang Yerusalem. Orang Yebusi yang tinggal di situ menyangka bahawa Raja Daud tidak sanggup mengalahkan kota itu. Mereka berkata kepadanya, “Engkau tidak sekali-kali dapat masuk ke sini. Bahkan orang buta dan tempang pun dapat mengusir engkau.” (
7. Tetapi Raja Daud benar-benar dapat merampas Sion, kubu pertahanan mereka. Sejak itulah kubu itu dinamakan “Kota Daud.”)
8. Pada hari itu Raja Daud bertitah kepada anak buahnya, “Adakah sesiapa di sini yang membenci orang Yebusi seperti beta membenci mereka? Cukup bencikah dia sehingga dia ingin sekali membunuh mereka? Jika begitu, masuklah melalui saluran air dan seranglah orang buta dan orang tempang yang beta benci itu.” (Itulah sebabnya orang berkata, “Orang buta dan orang tempang dilarang masuk ke dalam Rumah TUHAN.”)
9. Setelah Raja Daud merampas kubu Sion, baginda tinggal di situ dan menamakannya “Kota Daud.” Baginda membina kota di sekeliling kubu itu, bermula dari sebelah timur bukit yang ditimbusi tanah.
10. Raja Daud semakin lama semakin kuat kerana TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa menolong baginda.
11. Raja Hiram, dari negeri Tirus, mengutus duta-dutanya kepada Raja Daud. Raja Hiram memberi Raja Daud kayu sedar, tukang-tukang kayu, dan tukang-tukang batu untuk membina istana.
12. Oleh itu Raja Daud sedar bahawa TUHAN telah mengukuhkan diri baginda sebagai raja Israel, dan telah menjadikan kerajaan baginda makmur untuk kepentingan umat TUHAN.
13. Setelah Raja Daud pindah dari Hebron ke Yerusalem, baginda mempunyai lebih banyak lagi isteri dan gundik, serta putera dan puteri.
14. Inilah putera-putera Raja Daud yang dilahirkan di Yerusalem: Syamua, Sobab, Natan, Salomo,