2 Samuel 23:8-24-39 Alkitab Berita Baik (BM)

10. tetapi Eleazar terus berjuang melawan orang Filistin sampai tangannya menjadi kejang, dan dia tidak dapat melepaskan pedangnya. Pada hari itu TUHAN memperoleh kemenangan yang besar. Tentera Israel yang telah berundur, kembali ke tempat Eleazar bertempur, lalu menanggalkan baju perang daripada mayat-mayat di situ.

11. Orang ketiga dalam “Kumpulan Tiga” ialah Sama anak Age, dari Harar. Pada masa itu orang Filistin telah berkumpul di Lehi, di sebuah ladang kacang merah. Tentera Israel lari daripada orang Filistin,

12. tetapi Sama tetap bertahan dan bertempur di ladang itu. Dia membunuh dan mengalahkan orang Filistin sehingga dia berjaya mempertahankan ladang itu. Demikianlah TUHAN memperoleh kemenangan yang besar pada hari itu.

13. Apabila menjelang musim menuai, tiga orang daripada “Kumpulan Tiga Puluh” turun ke Gua Adulam. Pada masa itu Raja Daud berada di dalam gua itu. Sepasukan orang Filistin berkhemah di Lembah Refaim.

14. Pada masa itu Raja Daud berada di suatu bukit yang mempunyai kubu, dan sepasukan orang Filistin sudah menduduki Betlehem.

15. Raja Daud merindukan kampung halamannya, lalu baginda berkata, “Alangkah baiknya jika ada orang yang memberi beta minum air dari perigi dekat pintu gerbang di Betlehem!”

16. Mendengar kata-kata itu, tiga orang askar yang terkenal itu menembusi pertahanan orang Filistin di Betlehem. Mereka menimba air dari perigi itu lalu membawanya kepada Raja Daud. Tetapi Raja Daud tidak mahu meminum air itu, malahan baginda mencurahkan air itu sebagai persembahan kepada TUHAN.

17. Raja Daud bertitah, “Ya TUHAN, aku tidak sanggup minum air ini. Jika aku meminumnya, seolah-olah aku minum darah tiga orang yang mempertaruhkan nyawa mereka!” Raja Daud sama sekali tidak mahu minum air itu.Demikianlah keberanian tiga orang askar yang terkenal itu.

18. Adik Yoab, iaitu Abisai (ibu mereka ialah Zeruya) ialah ketua pasukan “Kumpulan Tiga Puluh.” Abisai pernah berperang dengan tiga ratus orang dan membunuh mereka semua dengan tombaknya. Oleh itu dia menjadi terkenal di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh.”

19. Dialah yang paling masyhur di kalangan “Kumpulan Tiga Puluh” dan dia menjadi pemimpin mereka, tetapi dia tidak sehebat “Kumpulan Tiga.”

20. Seorang askar lain yang termasyhur ialah Benaya anak Yoyada dari Kabzeel. Dia sangat berani, dan pernah membunuh dua orang pahlawan gagah dari Moab. Pada suatu hari, ketika salji turun, dia masuk ke dalam gua dan membunuh seekor singa.

21. Dia pernah juga membunuh seorang Mesir, yang berbadan besar dan bersenjatakan tombak. Dia menyerang orang itu dengan belantannya. Lalu dia merampas tombak raksasa itu dan membunuhnya dengan tombak itu.

22. Demikianlah jasa Benaya, salah seorang daripada “Kumpulan Tiga Puluh”.

23. Dalam kumpulan itu Benaya ialah yang terkemuka, tetapi dia tidak sehebat “Kumpulan Tiga”. Raja Daud melantik dia menjadi ketua pengawal peribadinya.

2 Samuel 23