2 Samuel 20:13-21 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Setelah mayat itu disingkirkan dari jalan, semua orang meneruskan perjalanan mengikut Yoab untuk mengejar Seba.

14. Seba melalui seluruh kawasan suku Israel. Kemudian dia tiba di kota Abel-bet-Maakha, lalu segenap puak Bikri berkumpul dan mengikut dia masuk ke dalam kota.

15. Anak buah Yoab mendengar bahawa Seba berada di sana lalu mereka mengepung kota itu. Mereka membuat tanjakan tanah di sebelah luar tembok, dan mula menggali tanah di bawah tembok untuk meruntuhkannya.

16. Di kota itu ada seorang wanita yang bijak. Dari dalam kota itu dia berseru, “Dengarlah! Dengarlah! Suruh Yoab datang ke mari. Saya hendak bercakap dengan dia.”

17. Yoab datang, lalu wanita itu bertanya, “Tuankah Yoab?”“Ya,” jawab Yoab.“Dengarkanlah kata-kata saya,” kata wanita itu.“Baiklah, saya dengarkan,” kata Yoab.

18. Wanita itu berkata, “Dahulu orang biasanya berkata, ‘Pergilah ke kota Abel untuk minta petunjuk!’ - dan itulah yang dilakukan mereka.

19. Kota kami ini besar, salah sebuah kota yang paling aman dan setia di negeri Israel. Mengapakah tuan hendak memusnahkannya? Inginkah tuan memusnahkan milik TUHAN?”

20. Yoab menjawab, “Sama sekali tidak! Saya tidak bermaksud merosakkan atau memusnahkan kota kamu ini!

21. Itu bukanlah rancangan kami. Seorang yang bernama Seba anak Bikri, yang berasal dari kawasan perbukitan Efraim, telah memulakan pemberontakan terhadap Raja Daud. Serahkanlah orang itu, lalu saya akan berundur dari kota ini.”“Baiklah,” kata wanita itu. “Kami akan melemparkan kepalanya kepada tuan dari atas tembok ini.”

2 Samuel 20