2 Samuel 19:5-19 Alkitab Berita Baik (BM)

5. Yoab pergi menghadap raja di rumahnya dan berkata, “Hari ini tuanku telah mempermalukan anak buah tuanku, padahal merekalah yang menyelamatkan nyawa tuanku, semua putera dan puteri tuanku, dan isteri-isteri, serta gundik-gundik tuanku.

6. Tuanku menentang orang yang mengasihi tuanku tetapi mengasihi orang yang membenci tuanku. Tuanku sudah membuktikan bahawa para pegawai dan askar tuanku sama sekali tidak bererti bagi tuanku. Nampaknya tuanku lebih suka jika Absalom masih hidup dan kami semua mati.

7. Hendaknya tuanku bangkit dan pergi ke luar serta bertitah untuk menenteramkan hati anak buah tuanku. Hamba bersumpah demi nama TUHAN bahawa jika tuanku tidak pergi menemui mereka, esok pagi tiada seorang pun yang akan menyertai tuanku. Hal itu akan merupakan bencana paling dahsyat yang tuanku alami seumur hidup.”

8. Selepas itu raja bangkit dan pergi ke luar, lalu duduk dekat pintu gerbang. Anak buah raja mendengar bahawa raja berada di situ, lalu mereka semua datang menghadap.Sementara itu semua orang Israel telah melarikan diri, dan masing-masing pulang ke rumah.

9. Semua orang Israel di seluruh negeri bertengkar sesama sendiri. Mereka berkata satu sama lain, “Raja Daud telah menyelamatkan kita daripada musuh. Baginda telah menyelamatkan kita daripada orang Filistin. Tetapi sekarang baginda telah melarikan diri daripada Absalom dan meninggalkan negeri ini.

10. Kita telah melantik Absalom menjadi raja kita, tetapi dia sudah mati dalam pertempuran. Oleh itu mengapa tidak ada seorang pun yang berusaha untuk membawa Raja Daud kembali?”

11. Kata-kata itu sampai kepada Raja Daud. Oleh itu Raja Daud menyuruh Imam Zadok dan Imam Abyatar bertanya kepada para pemimpin Yehuda, “Mengapa kamu yang terakhir menyambut raja dan mengiringi baginda kembali ke istana?

12. Bukankah kamu sanak saudara dan kaum kerabat beta? Mengapa kamu yang terakhir meminta supaya beta pulang?”

13. Raja Daud juga menyuruh mereka berkata kepada Amasa, “Engkau kerabat beta. Mulai sekarang beta melantik engkau menjadi panglima tentera untuk menggantikan Yoab. Biarlah Allah membunuh beta jika hal itu tidak beta lakukan!”

14. Kata-kata Raja Daud itu berjaya mengambil hati semua penduduk Yehuda sehingga mereka mengirim khabar meminta raja dan semua pegawainya kembali ke istana.

15. Kemudian raja berangkat dan sampai di Sungai Yordan. Sementara itu orang Yehuda sudah sampai di Gilgal untuk menyambut raja dan mengawal baginda menyeberang sungai itu.

16. Simei anak Gera, orang Benyamin dari Bahurim tergesa-gesa datang ke sungai itu untuk menemui Raja Daud.

17. Dia membawa seribu orang daripada suku Benyamin bersama-samanya. Ziba, hamba keluarga Raja Saul, juga datang bersama dengan lima belas orang anak lelakinya dan dua puluh orang hamba. Mereka tiba di Sungai Yordan lebih awal daripada raja.

18. Mereka membantu keluarga raja menyeberang sungai dan melakukan segala yang disuruh oleh raja.Apabila raja bersiap-siap untuk menyeberangi sungai, Simei bersujud di hadapannya

19. dan berkata, “Ampun tuanku, hamba mohon kiranya tuanku melupakan kesalahan yang hamba lakukan pada hari tuanku meninggalkan Yerusalem. Tolong jangan anggap hamba masih bersalah, dan jangan ingat akan hal itu lagi.

2 Samuel 19