26. Mefiboset menjawab, “Tuanku tahu bahawa hamba ini tempang. Hamba menyuruh pelayan hamba untuk memasang pelana pada keldai supaya hamba dapat mengikut tuanku. Tetapi dia mengkhianati hamba.
27. Malahan dia memfitnah hamba terhadap tuanku. Tetapi tuanku seperti malaikat Allah. Oleh itu lakukanlah kepada hamba apa sahaja kehendak tuanku.
28. Semua keluarga ayahanda hamba seharusnya dihukum mati oleh tuanku, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di istana. Sekarang hamba tidak berani meminta apa-apa lagi daripada tuanku.”
29. Raja bertitah, “Sudahlah! Beta telah mengambil keputusan bahawa kamu dan Ziba akan mewarisi segala harta Raja Saul.”
30. Tetapi Mefiboset berkata, “Biarlah Ziba mengambil semuanya. Hamba sudah puas hati kerana tuanku telah kembali dengan selamat.”
31. Kemudian Barzilai dari Gilead, datang dari Rogelim untuk mengiringi raja menyeberangi Sungai Yordan.
32. Barzilai sudah sangat tua. Dia sudah berumur lapan puluh tahun. Dia kaya raya, dan selama raja tinggal di Mahanaim dahulu, Barzilai yang menyediakan makanan bagi raja.
33. Raja bertitah kepadanya, “Ikutlah beta ke Yerusalem. Nanti beta akan menyediakan segala keperluanmu di sana.”
34. Tetapi Barzilai menjawab, “Hamba tidak akan hidup lama lagi. Apalah gunanya hamba ikut tuanku ke Yerusalem?
35. Hamba sudah berumur lapan puluh tahun dan tiada lagi yang dapat memberikan kesukaan kepada hamba. Hamba tidak lagi dapat menikmati apa yang hamba makan atau minum, dan tidak lagi dapat mendengar suara orang bernyanyi. Hamba hanya akan menjadi beban bagi tuanku.
36. Hamba tidak layak menerima upah yang sebesar itu. Biarlah hamba menghantar tuanku beberapa langkah sahaja di seberang Sungai Yordan.