25. Apabila Mefiboset datang dari Yerusalem untuk menyambut raja, raja bertitah kepadanya, “Mengapa kamu tidak ikut dengan beta waktu itu, hai Mefiboset?”
26. Mefiboset menjawab, “Tuanku tahu bahawa hamba ini tempang. Hamba menyuruh pelayan hamba untuk memasang pelana pada keldai supaya hamba dapat mengikut tuanku. Tetapi dia mengkhianati hamba.
27. Malahan dia memfitnah hamba terhadap tuanku. Tetapi tuanku seperti malaikat Allah. Oleh itu lakukanlah kepada hamba apa sahaja kehendak tuanku.
28. Semua keluarga ayahanda hamba seharusnya dihukum mati oleh tuanku, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di istana. Sekarang hamba tidak berani meminta apa-apa lagi daripada tuanku.”
29. Raja bertitah, “Sudahlah! Beta telah mengambil keputusan bahawa kamu dan Ziba akan mewarisi segala harta Raja Saul.”
30. Tetapi Mefiboset berkata, “Biarlah Ziba mengambil semuanya. Hamba sudah puas hati kerana tuanku telah kembali dengan selamat.”
31. Kemudian Barzilai dari Gilead, datang dari Rogelim untuk mengiringi raja menyeberangi Sungai Yordan.
32. Barzilai sudah sangat tua. Dia sudah berumur lapan puluh tahun. Dia kaya raya, dan selama raja tinggal di Mahanaim dahulu, Barzilai yang menyediakan makanan bagi raja.
33. Raja bertitah kepadanya, “Ikutlah beta ke Yerusalem. Nanti beta akan menyediakan segala keperluanmu di sana.”
34. Tetapi Barzilai menjawab, “Hamba tidak akan hidup lama lagi. Apalah gunanya hamba ikut tuanku ke Yerusalem?
35. Hamba sudah berumur lapan puluh tahun dan tiada lagi yang dapat memberikan kesukaan kepada hamba. Hamba tidak lagi dapat menikmati apa yang hamba makan atau minum, dan tidak lagi dapat mendengar suara orang bernyanyi. Hamba hanya akan menjadi beban bagi tuanku.
36. Hamba tidak layak menerima upah yang sebesar itu. Biarlah hamba menghantar tuanku beberapa langkah sahaja di seberang Sungai Yordan.
37. Kemudian biarlah hamba pulang ke rumah dan meninggal dekat kubur ibu bapa hamba. Ini dia Kimham, anak hamba. Benarkanlah dia mengiringi tuanku dan buatlah apa yang tuanku pandang baik baginya.”
38. Raja bertitah, “Baiklah, beta akan membawa Kimham dan melakukan apa saja baginya menurut kehendakmu. Selain itu, beta akan memenuhkan segala permintaanmu.”
39. Kemudian Raja Daud dan semua anak buahnya menyeberangi Sungai Yordan. Raja Daud mencium Barzilai dan memberkati dia. Kemudian Barzilai pulang ke rumahnya.
40. Selepas raja menyeberangi sungai itu, dengan diiringi segenap pasukan Yehuda dan separuh pasukan Israel, raja pergi ke Gilgal. Kimham mengikut Raja Daud.
41. Kemudian semua orang Israel menghadap raja dan bertanya kepadanya, “Tuanku, mengapa saudara kami orang Yehuda menganggap bahawa merekalah yang layak mengajak dan mengiringi tuanku, keluarga tuanku dan semua orang tuanku menyeberangi Sungai Yordan?”
42. Orang Yehuda menjawab, “Kami berbuat demikian kerana raja kerabat kami. Mengapa kamu marah? Raja tidak membiayai makanan kami, ataupun memberi kami hadiah apa-apa.”
43. Orang Israel berkata, “Kami sepuluh kali lebih berhak daripada kamu terhadap Raja Daud. Walaupun raja kerabat kamu, mengapa kamu memandang rendah terhadap kami? Jangan lupa bahawa kamilah yang pertama mencadangkan untuk membawa raja pulang!”Tetapi orang Yehuda lebih kuat mengemukakan hak mereka daripada orang Israel.