17. Dia membawa seribu orang daripada suku Benyamin bersama-samanya. Ziba, hamba keluarga Raja Saul, juga datang bersama dengan lima belas orang anak lelakinya dan dua puluh orang hamba. Mereka tiba di Sungai Yordan lebih awal daripada raja.
18. Mereka membantu keluarga raja menyeberang sungai dan melakukan segala yang disuruh oleh raja.Apabila raja bersiap-siap untuk menyeberangi sungai, Simei bersujud di hadapannya
19. dan berkata, “Ampun tuanku, hamba mohon kiranya tuanku melupakan kesalahan yang hamba lakukan pada hari tuanku meninggalkan Yerusalem. Tolong jangan anggap hamba masih bersalah, dan jangan ingat akan hal itu lagi.
20. Hamba insaf bahawa hamba sudah berdosa; itulah sebabnya hamba mendahului semua suku dari utara untuk menghadap tuanku hari ini.”
21. Mendengar kata-kata itu Abisai anak Zeruya berkata, “Simei sepatutnya dihukum mati kerana dia telah mengutuk raja yang dipilih oleh TUHAN.”
22. Tetapi Raja Daud bertitah kepada Abisai dan abangnya Yoab, “Jangan masuk campur. Mengapa kamu menyusahkan beta? Pada hari ini beta menjadi raja Israel lagi dan tidak boleh seorang Israel pun dihukum mati.”
23. Kemudian raja bersumpah kepada Simei, “Beta bersumpah bahawa engkau tidak akan dihukum mati.”
24. Selepas itu, Mefiboset, cucu Raja Saul datang menghadap raja. Dia tidak pernah mencuci kaki, atau mencukur janggut, atau mencuci pakaian sejak raja meninggalkan Yerusalem sehingga raja kembali dengan selamat.
25. Apabila Mefiboset datang dari Yerusalem untuk menyambut raja, raja bertitah kepadanya, “Mengapa kamu tidak ikut dengan beta waktu itu, hai Mefiboset?”
26. Mefiboset menjawab, “Tuanku tahu bahawa hamba ini tempang. Hamba menyuruh pelayan hamba untuk memasang pelana pada keldai supaya hamba dapat mengikut tuanku. Tetapi dia mengkhianati hamba.
27. Malahan dia memfitnah hamba terhadap tuanku. Tetapi tuanku seperti malaikat Allah. Oleh itu lakukanlah kepada hamba apa sahaja kehendak tuanku.
28. Semua keluarga ayahanda hamba seharusnya dihukum mati oleh tuanku, tetapi tuanku membenarkan hamba makan di istana. Sekarang hamba tidak berani meminta apa-apa lagi daripada tuanku.”
29. Raja bertitah, “Sudahlah! Beta telah mengambil keputusan bahawa kamu dan Ziba akan mewarisi segala harta Raja Saul.”
30. Tetapi Mefiboset berkata, “Biarlah Ziba mengambil semuanya. Hamba sudah puas hati kerana tuanku telah kembali dengan selamat.”
31. Kemudian Barzilai dari Gilead, datang dari Rogelim untuk mengiringi raja menyeberangi Sungai Yordan.