2 Samuel 19:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Yoab diberitahu bahawa Raja Daud sedang meratap dan berkabung bagi Absalom.

2. Oleh itu kegembiraan atas kemenangan pada hari itu berubah menjadi perkabungan bagi semua askar Raja Daud, kerana mereka mendengar bahawa raja berkabung bagi putera baginda.

3. Mereka pulang ke kota dengan senyap, seperti askar yang malu kerana sudah lari dari pertempuran.

4. Raja menyelubungi mukanya dan meratap dengan kuat, “Aduhai anakku! Anakku Absalom! Absalom, anakku!”

5. Yoab pergi menghadap raja di rumahnya dan berkata, “Hari ini tuanku telah mempermalukan anak buah tuanku, padahal merekalah yang menyelamatkan nyawa tuanku, semua putera dan puteri tuanku, dan isteri-isteri, serta gundik-gundik tuanku.

6. Tuanku menentang orang yang mengasihi tuanku tetapi mengasihi orang yang membenci tuanku. Tuanku sudah membuktikan bahawa para pegawai dan askar tuanku sama sekali tidak bererti bagi tuanku. Nampaknya tuanku lebih suka jika Absalom masih hidup dan kami semua mati.

7. Hendaknya tuanku bangkit dan pergi ke luar serta bertitah untuk menenteramkan hati anak buah tuanku. Hamba bersumpah demi nama TUHAN bahawa jika tuanku tidak pergi menemui mereka, esok pagi tiada seorang pun yang akan menyertai tuanku. Hal itu akan merupakan bencana paling dahsyat yang tuanku alami seumur hidup.”

8. Selepas itu raja bangkit dan pergi ke luar, lalu duduk dekat pintu gerbang. Anak buah raja mendengar bahawa raja berada di situ, lalu mereka semua datang menghadap.Sementara itu semua orang Israel telah melarikan diri, dan masing-masing pulang ke rumah.

9. Semua orang Israel di seluruh negeri bertengkar sesama sendiri. Mereka berkata satu sama lain, “Raja Daud telah menyelamatkan kita daripada musuh. Baginda telah menyelamatkan kita daripada orang Filistin. Tetapi sekarang baginda telah melarikan diri daripada Absalom dan meninggalkan negeri ini.

2 Samuel 19