2 Samuel 18:11-25 Alkitab Berita Baik (BM)

11. Yoab menjawab, “Apa? Awak nampak dia? Mengapa awak tidak segera membunuh dia? Pasti aku akan memberi awak sepuluh keping wang perak dan seutas tali pinggang.”

12. Tetapi orang itu menjawab, “Walaupun tuan memberi saya seribu keping wang perak, saya tidak mahu menyakiti putera raja. Kami semua mendengar apa yang diperintahkan raja kepada tuan dan kepada Abisai, serta Itai, supaya tidak berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu demi raja.

13. Tetapi sekiranya saya melanggar perintah raja dan membunuh Absalom tadi, tentu hal itu diketahui oleh raja, kerana raja mendengar tentang segala sesuatu, dan tuan pun pasti tidak akan membela saya.”

14. “Sudahlah! Habis masa hanya bersoal jawab dengan awak,” kata Yoab. Kemudian Yoab mengambil tiga batang tombak lalu menikam dada Absalom. Pada masa itu Absalom masih hidup dan tergantung pada pokok oak.

15. Kemudian sepuluh orang anak buah Yoab mengeroyok Absalom dan membunuh dia.

16. Yoab menyuruh orang membunyikan trompet supaya anak buahnya berhenti mengejar pasukan Israel.

17. Kemudian mereka mengambil mayat Absalom dan melemparkannya ke dalam perigi yang dalam di hutan. Mereka menimbuni perigi itu dengan batu sampai tinggi. Semua orang Israel lari, dan pulang ke rumah masing-masing.

18. Semasa hidup Absalom, dia telah membangun sebuah tugu di Lembah Raja bagi dirinya, kerana dia tidak mempunyai anak lelaki untuk meneruskan keturunannya. Dia menamakan tugu itu menurut namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu dikenal sebagai Tugu Absalom.

19. Kemudian Ahimaas anak Zadok berkata kepada Yoab, “Benarkanlah saya pergi untuk menghadap raja dan menyampaikan khabar baik bahawa TUHAN sudah menyelamatkan raja daripada musuh.”

20. “Jangan,” kata Yoab, “hari ini kamu tidak boleh menyampaikan khabar baik. Kamu boleh melakukannya pada hari lain, tetapi bukan hari ini, kerana putera raja sudah mangkat.”

21. Kemudian Yoab berkata kepada hambanya, orang Etiopia, “Pergilah beritahu raja apa yang telah engkau nampak.” Hamba itu sujud lalu pergi dengan berlari.

22. Tetapi Ahimaas mendesak Yoab, “Walau apa pun yang terjadi, benarkanlah saya juga untuk pergi menyampaikan khabar.”“Mengapa engkau berkeras untuk pergi, anakku?” tanya Yoab. “Engkau tidak akan menerima hadiah untuk hal itu.”

23. “Tidak mengapa,” kata Ahimaas lagi, “Saya akan tetap pergi.”“Jika begitu, pergilah,” kata Yoab. Maka Ahimaas berlari menyusuri jalan yang melalui Lembah Yordan, dan tidak lama kemudian dia berjaya mendahului hamba itu.

24. Raja Daud sedang duduk di ruang antara pintu gerbang sebelah dalam dan pintu gerbang sebelah luar kota itu. Pengawal naik ke atas tembok dan berdiri di atas bumbung pintu gerbang. Apabila dia melayangkan pandangan, dia nampak seorang datang berlari.

25. Pengawal itu berseru ke bawah memberitahukan hal itu kepada raja, dan raja bertitah, “Jika dia sendirian, tentulah khabar baik yang dibawanya.”Ketika orang itu hampir sampai,

2 Samuel 18