1. Raja Daud mengumpulkan semua anak buahnya, lalu membahagikan mereka menjadi beberapa pasukan yang terdiri daripada seribu dan seratus orang. Kemudian baginda melantik beberapa orang pahlawan untuk mengetuai setiap pasukan.
2. Setelah itu baginda menyuruh mereka mara untuk berperang dalam tiga kumpulan, masing-masing dipimpin oleh Yoab, Abisai adik Yoab, dan Itai dari Gat. Raja bertitah kepada anak buahnya, “Beta juga ikut bersama dengan kamu.”
3. Tetapi mereka menjawab, “Jangan tuanku. Jika kami terpaksa lari, atau separuh daripada bilangan kami mati, musuh belum berasa puas, kerana tuankulah yang dicari mereka. Tuanku sama nilainya dengan sepuluh ribu orang daripada kami. Lagipun lebih baik tuanku mengirim bantuan kepada kami dari dalam kota.”
4. Kemudian raja bertitah, “Baiklah, terserah kepada kamu.” Selepas itu raja berdiri di sisi pintu gerbang kota, sementara tentera berbaris ke luar dalam pasukan-pasukan yang terdiri daripada seribu dan seratus orang.
5. Raja memberi perintah kepada Yoab, Abisai, dan Itai, katanya, “Demi beta, jangan berlaku kasar terhadap Absalom, anak muda itu.” Semua askar mendengar Raja Daud memberi perintah itu kepada para ketua pasukan.
6. Selepas itu tentera Raja Daud pergi ke luar kota untuk memerangi tentera Israel, dan mereka bertempur di hutan Efraim.
7. Tentera Israel dikalahkan oleh anak buah Raja Daud. Kekalahan itu sungguh dahsyat; seramai dua puluh ribu orang mati pada hari itu.
8. Pertempuran merebak ke seluruh kawasan itu, dan lebih banyak orang yang mati terperangkap di dalam hutan daripada terbunuh di medan pertempuran.
9. Semasa Absalom menunggang baghalnya, tiba-tiba dia bertemu dengan anak buah Raja Daud. Baghalnya lalu di bawah pokok oak yang besar, sehingga kepala Absalom tersangkut pada dahan pokok itu. Baghalnya terus berlari sedangkan Absalom tertinggal dan tergantung di situ.