2 Samuel 16:9-23 Alkitab Berita Baik (BM)

9. Abisai, ibunya ialah Zeruya, berkata kepada raja, “Mengapa tuanku membiarkan anjing ini mengutuki tuanku? Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!”

10. Tetapi raja bertitah kepada Abisai dan Yoab abangnya, “Jangan masuk campur. Biarkan saja dia mengutuki beta. Jika TUHAN menyuruh dia mengutuki beta, siapakah yang berhak menanyakan mengapa dia berbuat begitu?”

11. Raja Daud bertitah kepada Abisai dan semua pegawainya, “Anak kandung beta sendiri berusaha membunuh beta; mengapa pula kamu hairan melihat kelakuan orang Benyamin ini? TUHAN menyuruh dia mengutuk beta, kerana itu jangan lakukan apa-apa terhadap dia, dan biarkan saja dia mengutuk beta.

12. Mungkin TUHAN akan memperhatikan penderitaan beta dan memberkati beta sebagai ganti kutuk itu.”

13. Oleh itu Raja Daud dan anak buahnya meneruskan perjalanan, sementara Simei berjalan cepat mengikuti mereka di lereng bukit sambil mengutuki dan melempari mereka dengan batu dan tanah.

14. Raja dan semua anak buahnya sangat letih ketika sampai di Sungai Yordan, lalu mereka berehat di situ.

15. Sementara itu Absalom dan semua orang Israel yang mengiringinya memasuki kota Yerusalem, dan Ahitofel pun ada bersama-sama mereka.

16. Apabila Husai, sahabat Raja Daud yang setia itu bertemu dengan Absalom, Husai berseru, “Daulat tuanku! Daulat tuanku!”

17. Tetapi Absalom bertanya kepadanya, “Di mana kesetiaanmu kepada Raja Daud, sahabatmu? Mengapa kamu tidak ikut dengan baginda?”

18. Husai menjawab, “Mana mungkin! Hamba memihak orang yang dipilih oleh TUHAN dan oleh semua orang ini, dan oleh semua orang Israel. Orang itulah yang hamba ikuti.

19. Lagipun, kepada siapakah hamba mengabdikan diri, kalau bukan putera kepada tuan hamba? Sebagaimana hamba mengabdikan diri kepada ayahanda tuanku, begitu juga hamba akan mengabdikan diri kepada tuanku sekarang.”

20. Kemudian Absalom berkata kepada Ahitofel, “Katakanlah apa yang harus kita lakukan.”

21. Ahitofel menjawab, “Pergilah berseketiduran dengan gundik-gundik ayahanda tuanku, yang ditinggalkan untuk menunggui istana. Dengan perbuatan itu, semua orang Israel akan tahu bahawa tuanku sudah dianggap musuh oleh ayahanda tuanku, dan semua pengikut tuanku akan bertambah berani.”

22. Maka sebuah khemah dipasang untuk Absalom di atas atap istana yang rata itu. Kemudian dengan disaksikan oleh semua orang, Absalom masuk ke dalam khemah itu lalu berseketiduran dengan gundik-gundik ayahandanya.

23. Pada masa itu setiap nasihat Ahitofel diterima dengan baik, seolah-olah semuanya firman Allah sendiri; baik Raja Daud mahupun Absalom menurut nasihat Ahitofel.

2 Samuel 16