1. Ketika Raja Daud baru sahaja melalui puncak bukit, tiba-tiba Ziba, hamba Mefiboset datang menemui baginda. Ziba datang dengan dua ekor keldai yang mengangkut muatan dua ratus buku roti, seratus rangkai kismis, seratus ikat buah-buahan segar dan satu kirbat penuh wain.
2. Raja Daud bertanya kepadanya, “Untuk apakah semua ini?”Ziba menjawab, “Keldai-keldai ini untuk tunggangan keluarga tuanku; roti dan buah-buahan ini untuk hamba-hamba tuanku, dan wain ini untuk minuman mereka apabila letih di padang gurun kelak.”
3. Raja bertanya kepadanya, “Di manakah Mefiboset, cucu tuanmu Raja Saul?”Ziba menjawab, “Dia tinggal di Yerusalem, kerana dia yakin bahawa umat Israel akan mengembalikan kerajaan datuknya Raja Saul kepadanya.”
4. Raja bertitah kepada Ziba, “Mulai sekarang segala milik Mefiboset menjadi milikmu.”“Terima kasih tuanku,” jawab Ziba. “Semoga hamba selalu diperkenan oleh tuanku.”
5. Apabila Raja Daud sampai di Bahurim, seorang dari tempat itu datang menghampiri rombongan raja sambil mengutuki Raja Daud. Orang itu bernama Simei anak Gera, salah seorang sanak saudara Raja Saul.