1. Ketika Raja Daud baru sahaja melalui puncak bukit, tiba-tiba Ziba, hamba Mefiboset datang menemui baginda. Ziba datang dengan dua ekor keldai yang mengangkut muatan dua ratus buku roti, seratus rangkai kismis, seratus ikat buah-buahan segar dan satu kirbat penuh wain.
2. Raja Daud bertanya kepadanya, “Untuk apakah semua ini?”Ziba menjawab, “Keldai-keldai ini untuk tunggangan keluarga tuanku; roti dan buah-buahan ini untuk hamba-hamba tuanku, dan wain ini untuk minuman mereka apabila letih di padang gurun kelak.”
3. Raja bertanya kepadanya, “Di manakah Mefiboset, cucu tuanmu Raja Saul?”Ziba menjawab, “Dia tinggal di Yerusalem, kerana dia yakin bahawa umat Israel akan mengembalikan kerajaan datuknya Raja Saul kepadanya.”
4. Raja bertitah kepada Ziba, “Mulai sekarang segala milik Mefiboset menjadi milikmu.”“Terima kasih tuanku,” jawab Ziba. “Semoga hamba selalu diperkenan oleh tuanku.”
5. Apabila Raja Daud sampai di Bahurim, seorang dari tempat itu datang menghampiri rombongan raja sambil mengutuki Raja Daud. Orang itu bernama Simei anak Gera, salah seorang sanak saudara Raja Saul.
6. Simei melempari Raja Daud dan para pegawainya dengan batu, meskipun Raja Daud dikelilingi oleh anak buahnya dan para pengawalnya.
7. Simei mengutuki baginda dan berkata, “Pergi! Pergi! Pembunuh! Penjenayah!
8. Engkau telah merampas kerajaan Raja Saul! Sekarang engkau dihukum oleh TUHAN kerana membunuh begitu banyak sanak saudara Raja Saul. TUHAN telah memberikan kerajaanmu kepada anakmu Absalom. Sekarang mampuslah engkau, hai pembunuh!”
9. Abisai, ibunya ialah Zeruya, berkata kepada raja, “Mengapa tuanku membiarkan anjing ini mengutuki tuanku? Benarkanlah hamba memenggal kepalanya!”
10. Tetapi raja bertitah kepada Abisai dan Yoab abangnya, “Jangan masuk campur. Biarkan saja dia mengutuki beta. Jika TUHAN menyuruh dia mengutuki beta, siapakah yang berhak menanyakan mengapa dia berbuat begitu?”
11. Raja Daud bertitah kepada Abisai dan semua pegawainya, “Anak kandung beta sendiri berusaha membunuh beta; mengapa pula kamu hairan melihat kelakuan orang Benyamin ini? TUHAN menyuruh dia mengutuk beta, kerana itu jangan lakukan apa-apa terhadap dia, dan biarkan saja dia mengutuk beta.
12. Mungkin TUHAN akan memperhatikan penderitaan beta dan memberkati beta sebagai ganti kutuk itu.”