2 Samuel 15:8-18 Alkitab Berita Baik (BM)

8. Pada waktu saya tinggal di Gesur, di negeri Siria, saya berjanji akan pergi beribadat kepada TUHAN di Hebron, jika Dia membawa saya pulang ke Yerusalem.”

9. Raja menjawab, “Pergilah dengan selamat.” Maka Absalom berangkat ke Hebron.

10. Tetapi sebelum itu dia telah mengirim utusan-utusan kepada semua suku Israel, dengan membawa pesan, “Jika kamu mendengar bunyi trompet, berserulah ‘Absalom sudah menjadi raja di Hebron!’ ”

11. Seramai dua ratus orang dari Yerusalem telah dijemput oleh Absalom untuk mengiringinya ke Hebron. Mereka tidak tahu apa-apa tentang pakatan itu dan mereka semua ikut pergi tanpa curiga.

12. Sementara Absalom mempersembahkan korban, dia juga mengirim utusan ke kota Gilo untuk memanggil Ahitofel, salah seorang penasihat Raja Daud. Demikianlah pakatan untuk melawan Raja Daud semakin kuat, dan pengikut-pengikut Absalom semakin banyak.

13. Kemudian seorang utusan melaporkan hal itu kepada Raja Daud, “Orang Israel sudah memihak Absalom.”

14. Oleh itu Raja Daud bertitah kepada semua pegawainya yang ada di Yerusalem, “Kita mesti melarikan diri sekarang juga, kalau kita mahu terlepas daripada Absalom! Cepatlah! Kalau tidak, dia akan segera tiba dan mengalahkan kita, serta membunuh semua orang di kota!”

15. “Baik, tuanku,” jawab mereka. “Hamba semua sedia melakukan apa saja kehendak tuanku.”

16. Oleh itu raja berangkat, diiringi oleh semua anggota keluarganya dan pegawainya, kecuali sepuluh orang gundiknya yang ditinggalkan untuk menunggu istana.

17. Pada waktu raja dan semua pengiring baginda berjalan meninggalkan kota, mereka berhenti dekat rumah yang terakhir.

18. Semua pegawai raja berdiri di sebelahnya ketika pasukan pengawal raja lalu di hadapan baginda. Selain itu seramai enam ratus orang askar yang mengikutinya dari Gat, juga lalu di hadapan baginda.

2 Samuel 15