2 Samuel 15:19-35 Alkitab Berita Baik (BM)

19. Apabila raja nampak mereka, raja bertitah kepada Itai, ketua enam ratus orang askar itu, “Mengapa kamu ikut juga dengan kami? Lebih baik kamu balik dan tinggal bersama dengan raja yang baru. Kamu orang asing di sini, orang pelarian yang jauh dari negeri sendiri.

20. Kamu belum tinggal lama di sini, dan beta tidak mahu kamu ikut mengembara dengan beta. Beta sendiri tidak tahu ke mana beta akan pergi. Baliklah dan bawalah juga rakan-rakan sebangsa kamu. Semoga TUHAN mengasihi kamu dan setia kepada kamu.”

21. Tetapi Itai menjawab, “Tuanku, hamba bersumpah kepada tuanku, demi TUHAN yang hidup bahawa ke mana pun tuanku pergi, hamba akan ikut juga, meskipun menghadapi kematian.”

22. “Baiklah!” jawab Raja Daud. “Majulah!” Maka Itai berjalan bersama dengan segenap pasukannya dan keluarga mereka.

23. Semua orang menangis dengan nyaring ketika para pengikut Raja Daud meninggalkan kota. Kemudian raja menyeberangi Sungai Kidron, diikuti oleh segenap pasukannya, lalu berjalan menuju ke padang gurun.

24. Imam Zadok dan Imam Abyatar berada di situ bersama-sama orang Lewi yang mengangkat Tabut Perjanjian TUHAN. Tabut Perjanjian itu diturunkan, dan tidak diangkat lagi sebelum semua orang sudah meninggalkan kota.

25. Kemudian raja bertitah kepada Zadok, “Kembalikanlah Tabut Perjanjian itu ke kota. Jika TUHAN berkenan kepada beta, tentu Dia akan mengizinkan beta kembali dan melihat Tabut Perjanjian itu lagi, dan juga tempat Tabut Perjanjian itu disimpan.

26. Tetapi jika TUHAN tidak berkenan kepada beta, terserah sajalah kepada apa kehendak-Nya bagi diri beta.”

27. Selanjutnya raja bertitah kepada Zadok, “Ajaklah Ahimaas anakmu dan Yonatan anak Abyatar, dan kembalilah ke kota dengan tenang.

28. Sementara itu beta akan menunggu dekat tempat penyeberangan sungai di padang gurun sehingga menerima khabar daripada kamu.”

29. Maka Zadok dan Abyatar membawa Tabut Perjanjian kembali ke Yerusalem dan mereka tinggal di situ.

30. Raja Daud tidak berkasut, dan bersama-sama semua pengikutnya, mereka mendaki Bukit Zaitun sambil menangis dengan kepala berselubung sebagai tanda bersedih.

31. Ketika Raja Daud diberitahu bahawa Ahitofel juga ikut memberontak dengan Absalom, Raja Daud berdoa, “Ya, TUHAN, sia-siakanlah nasihat Ahitofel!”

32. Pada waktu Raja Daud sampai ke puncak bukit, di tempat ibadat di situ, baginda disambut oleh sahabatnya yang setia, Husai orang Arki. Husai sudah mengoyakkan pakaiannya dan menaburkan abu di atas kepalanya.

33. Raja Daud bertitah kepadanya, “Jika kamu ikut bersama-sama beta, kamu tidak dapat menolong beta.

34. Tetapi kamu dapat menolong beta jika kamu kembali ke kota. Kemudian katakanlah kepada Absalom bahawa sekarang kamu hendak berkhidmat dengan setia kepadanya, seperti kamu berkhidmat kepada bapanya dahulu. Dengan cara demikian kamu dapat menggagalkan segala nasihat Ahitofel.

35. Imam Zadok dan Imam Abyatar juga ada di sana. Beritahulah mereka segala sesuatu yang kamu dengar di istana.

2 Samuel 15