18. Semua pegawai raja berdiri di sebelahnya ketika pasukan pengawal raja lalu di hadapan baginda. Selain itu seramai enam ratus orang askar yang mengikutinya dari Gat, juga lalu di hadapan baginda.
19. Apabila raja nampak mereka, raja bertitah kepada Itai, ketua enam ratus orang askar itu, “Mengapa kamu ikut juga dengan kami? Lebih baik kamu balik dan tinggal bersama dengan raja yang baru. Kamu orang asing di sini, orang pelarian yang jauh dari negeri sendiri.
20. Kamu belum tinggal lama di sini, dan beta tidak mahu kamu ikut mengembara dengan beta. Beta sendiri tidak tahu ke mana beta akan pergi. Baliklah dan bawalah juga rakan-rakan sebangsa kamu. Semoga TUHAN mengasihi kamu dan setia kepada kamu.”
21. Tetapi Itai menjawab, “Tuanku, hamba bersumpah kepada tuanku, demi TUHAN yang hidup bahawa ke mana pun tuanku pergi, hamba akan ikut juga, meskipun menghadapi kematian.”
22. “Baiklah!” jawab Raja Daud. “Majulah!” Maka Itai berjalan bersama dengan segenap pasukannya dan keluarga mereka.
23. Semua orang menangis dengan nyaring ketika para pengikut Raja Daud meninggalkan kota. Kemudian raja menyeberangi Sungai Kidron, diikuti oleh segenap pasukannya, lalu berjalan menuju ke padang gurun.
24. Imam Zadok dan Imam Abyatar berada di situ bersama-sama orang Lewi yang mengangkat Tabut Perjanjian TUHAN. Tabut Perjanjian itu diturunkan, dan tidak diangkat lagi sebelum semua orang sudah meninggalkan kota.
25. Kemudian raja bertitah kepada Zadok, “Kembalikanlah Tabut Perjanjian itu ke kota. Jika TUHAN berkenan kepada beta, tentu Dia akan mengizinkan beta kembali dan melihat Tabut Perjanjian itu lagi, dan juga tempat Tabut Perjanjian itu disimpan.
26. Tetapi jika TUHAN tidak berkenan kepada beta, terserah sajalah kepada apa kehendak-Nya bagi diri beta.”
27. Selanjutnya raja bertitah kepada Zadok, “Ajaklah Ahimaas anakmu dan Yonatan anak Abyatar, dan kembalilah ke kota dengan tenang.
28. Sementara itu beta akan menunggu dekat tempat penyeberangan sungai di padang gurun sehingga menerima khabar daripada kamu.”