2 Samuel 15:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)

1. Selepas itu Absalom menyediakan sebuah kereta kuda dan beberapa ekor kuda untuk dirinya, dan juga lima puluh orang pengiring peribadi.

2. Biasanya Absalom bangun pagi-pagi lalu berdiri di tepi jalan dekat pintu gerbang kota. Setiap orang yang hendak mengadukan perkaranya kepada raja, dipanggil dan ditanyai oleh Absalom. Katanya, “Kamu daripada suku mana?” Jika orang itu menjawab, “Daripada suku ini atau itu,”

3. maka Absalom berkata, “Menurut undang-undang, kamu benar, tetapi sayang tiada wakil raja yang mahu mendengarkan pengaduanmu.”

4. Absalom berkata lagi, “Andaikata saya ini hakim, setiap orang yang mempunyai perselisihan atau tuntutan boleh datang kepada saya, dan saya akan memperlakukannya dengan adil.”

5. Jika ada orang yang mendekati Absalom untuk sujud di hadapannya, Absalom menghulurkan tangan, lalu memeluk orang itu dan menciumnya.

6. Absalom berlaku demikian terhadap setiap orang Israel yang hendak mengadukan perkara kepada raja. Dengan demikian Absalom mengambil hati orang Israel.

7. Setelah empat tahun berlalu, Absalom berkata kepada Raja Daud, “Ayahanda, izinkanlah saya pergi ke Hebron untuk memenuhi janji saya kepada TUHAN.

8. Pada waktu saya tinggal di Gesur, di negeri Siria, saya berjanji akan pergi beribadat kepada TUHAN di Hebron, jika Dia membawa saya pulang ke Yerusalem.”

9. Raja menjawab, “Pergilah dengan selamat.” Maka Absalom berangkat ke Hebron.

10. Tetapi sebelum itu dia telah mengirim utusan-utusan kepada semua suku Israel, dengan membawa pesan, “Jika kamu mendengar bunyi trompet, berserulah ‘Absalom sudah menjadi raja di Hebron!’ ”

11. Seramai dua ratus orang dari Yerusalem telah dijemput oleh Absalom untuk mengiringinya ke Hebron. Mereka tidak tahu apa-apa tentang pakatan itu dan mereka semua ikut pergi tanpa curiga.

2 Samuel 15