9. “Tuanku,” kata wanita itu, “apa saja yang tuanku lakukan, hamba dan keluarga hamba akan menanggung akibatnya; tuanku dan keluarga tuanku tidak bersalah.”
10. Raja menjawab, “Jika ada orang yang mengancam kamu, bawalah dia kepada beta, maka dia tidak akan mengganggumu lagi.”
11. Kata wanita itu, “Sudilah tuanku berdoa kepada TUHAN, Allah tuanku, supaya orang yang hendak membalas kematian anak hamba itu tidak melakukan kejahatan yang lebih besar lagi dengan membunuh anak hamba yang seorang lagi.”Raja Daud menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, anakmu itu tidak akan diapa-apakan walau sedikit pun.”
12. Kemudian wanita itu berkata, “Tuanku, izinkanlah hamba berkata-kata sedikit lagi.”“Baiklah,” jawab raja.
13. Wanita itu bercakap, “Dengan ucapan tuanku itu, tuanku sudah mengaku bahawa tuanku sendiri bersalah kerana tidak mengizinkan putera tuanku pulang dari pengasingan. Mengapakah tuanku melakukan kesalahan seperti itu terhadap umat Allah?
14. Kita semua akan mati; kita ini umpama air yang tumpah ke tanah dan tidak dapat dikumpulkan lagi. Allah pun tidak akan menghidupkan semula orang yang sudah mati, tetapi sekurang-kurangnya tuanku dapat mengusahakan supaya orang buangan itu boleh pulang lagi.
15. Hamba menghadap tuanku kerana hamba diancam orang. Oleh itu hamba berfikir sebaiknya hamba berkata-kata kepada tuanku dengan harapan permintaan hamba ini akan dikabulkan.
16. Hamba berfikir tuanku akan mendengarkan dan menyelamatkan hamba daripada orang yang berusaha untuk membunuh hamba dan anak hamba. Mereka bermaksud menyingkirkan kami dari tanah yang diberikan Allah kepada umat-Nya.
17. Hamba yakin bahawa janji tuanku itu akan menjamin keselamatan hamba kerana tuanku seperti malaikat Allah, yang dapat membezakan apa yang baik dan apa yang jahat. Semoga TUHAN, Allah tuanku menyertai tuanku!”
18. Raja menjawab, “Beta mahu menanyakan sesuatu kepadamu, dan jawablah dengan jujur.”“Silakan tuanku,” wanita itu menjawab.
19. Raja bertitah, “Adakah Yoab yang menyuruh kamu?”Jawab wanita itu, “Hamba bersumpah demi tuanku bahawa hamba tidak mungkin mengelak diri daripada pertanyaan tuanku. Memang benar tuanku, Yoab sudah memberitahukan apa yang harus hamba lakukan dan katakan.
20. Tetapi dia berbuat begitu untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik. Tuanku bijaksana seperti malaikat Allah sehingga mengetahui segala sesuatu yang berlaku.”