2 Samuel 14:22-33 Alkitab Berita Baik (BM)

22. Yoab sujud di hadapan Raja Daud, lalu berkata, “Kiranya Allah memberkati tuanku! Sekarang hamba tahu bahawa tuanku berkenan kepada hamba kerana tuanku sudah mengabulkan permohonan hamba.”

23. Yoab berangkat ke Gesur untuk mengajak Absalom kembali ke Yerusalem.

24. Tetapi raja tidak mengizinkan Absalom tinggal di istana. Raja bertitah, “Beta tidak mahu melihat dia.” Oleh itu Absalom langsung pulang ke rumahnya sendiri dan tidak menghadap raja.

25. Absalom dipuji sebagai orang yang paling kacak di seluruh Israel. Tiada sesiapa pun yang lebih kacak daripada dia. Dari telapak kaki sampai ke hujung rambutnya, dia tidak ada cacat.

26. Rambutnya sangat tebal, dan dia harus memotongnya sekali setahun kerana dirasanya terlalu berat. Rambut yang dipotong itu beratnya lebih daripada dua kilogram menurut timbangan diraja.

27. Absalom mempunyai tiga orang putera dan seorang puteri yang sangat cantik, bernama Tamar.

28. Absalom telah tinggal di Yerusalem selama dua tahun, tetapi belum juga bertemu dengan raja.

29. Oleh itu pada suatu hari Absalom memanggil Yoab untuk menyuruhnya menghadap raja, tetapi Yoab tidak mahu datang. Absalom memanggilnya sekali lagi, tetapi Yoab tidak mahu datang juga.

30. Kemudian Absalom berkata kepada hamba-hambanya, “Lihatlah, ladang Yoab yang ditanami barli bersebelahan ladangku. Bakarlah ladang itu.” Maka mereka pergi membakarnya.

31. Yoab datang ke rumah Absalom dan bertanya, “Mengapa hamba-hambamu membakar ladangku?”

32. Absalom menjawab, “Oleh sebab kamu tidak mahu datang ketika aku memanggilmu. Aku hendak mengutusmu menghadap raja dan menyampaikan pertanyaanku ini, ‘Apa gunanya saya meninggalkan Gesur dan kembali ke sini? Lebih baik saya tinggal di sana saja.’ ” Absalom berkata lagi, “Usahakanlah supaya aku dapat menghadap raja, dan jika aku masih dianggap bersalah, aku bersedia dihukum mati.”

33. Kemudian Yoab pergi menghadap Raja Daud dan menyampaikan kata-kata Absalom. Selepas itu raja memanggil Absalom, lalu Absalom datang bersujud di hadapan raja. Raja menyambut dia dengan ciuman.

2 Samuel 14