28. Absalom memberikan perintah kepada hamba-hambanya, “Perhatikan baik-baik, jika Amnon sudah mabuk kerana minum wain, aku akan memberikan isyarat, lalu bunuhlah dia. Jangan takut. Akulah yang bertanggungjawab atas hal itu. Bertindaklah dengan berani dan jangan ragu-ragu!”
29. Hamba-hamba Absalom itu melaksanakan perintahnya lalu membunuh Amnon. Putera-putera Raja Daud yang lain menunggang baghal masing-masing dan melarikan diri.
30. Sedang mereka dalam perjalanan pulang, Raja Daud diberitahu bahawa Absalom telah membunuh semua puteranya, dan tidak seorang pun dibiarkan hidup.
31. Raja Daud bangun, mengoyak-ngoyakkan pakaiannya kerana dukacita, lalu berbaring di lantai. Semua pegawainya ikut mengoyakkan pakaian.
32. Tetapi Yonadab, anak Simea abang Raja Daud berkata, “Tuanku, mereka tidak membunuh semua putera tuanku. Hanya Amnon yang dibunuh, kerana sudah jelas bahawa itulah yang dikehendaki Absalom sejak Tamar adiknya dirogol oleh Amnon.
33. Janganlah percaya bahawa semua putera tuanku telah dibunuh, kerana yang dibunuh hanyalah Amnon.”
34. Sementara itu Absalom telah melarikan diri.Pengawal istana nampak banyak orang datang menuruni gunung dari arah Horonaim. Oleh itu dia pergi kepada raja dan melaporkan hal itu.
35. Yonadab berkata kepada Raja Daud, “Itulah putera-putera tuanku! Tepat seperti yang hamba katakan tadi.”