10. Kemudian Amnon berkata kepada Tamar, “Bawalah kuih itu ke tempat tidurku dan suapilah aku.” Tamar menuruti permintaan abangnya.
11. Tetapi ketika Tamar menghulurkan kuih itu kepadanya, Amnon memegang gadis itu dan berkata, “Marilah tidur dengan aku!”
12. “Jangan!” kata Tamar. “Janganlah paksa saya melakukan perkara sehina itu. Hal seperti itu tidak pernah berlaku di Israel.
13. Jika terjadi begitu, saya akan kehilangan muka. Abang pun akan dihina orang di Israel. Sebaiknya abang berunding dengan raja, dan tentu raja akan setuju saya menjadi isteri abang.”
14. Tetapi Amnon tidak mahu menurut nasihatnya. Oleh sebab Amnon lebih kuat daripada Tamar, dia memaksanya dengan kekerasan, lalu merogol dia.
15. Selepas itu Amnon menjadi sangat benci terhadap Tamar. Kebenciannya itu lebih besar daripada cintanya yang mula-mula. Dia berkata kepada adiknya itu, “Keluar!”
16. Tamar menjawab, “Jangan usir saya. Jika abang mengusir saya, perbuatan itu lebih jahat daripada yang telah abang lakukan tadi!”Tetapi Amnon tidak mahu mendengarkan Tamar.
17. Dia memanggil pelayan peribadinya dan berkata, “Bawalah perempuan ini keluar dan kuncilah pintu!”
18. Pelayan itu pun membawa Tamar keluar lalu mengunci pintu.Tamar memakai jubah panjang yang berlengan panjang. Pada zaman itu puteri raja yang belum kahwin biasanya memakai pakaian seperti itu.
19. Tamar menaruh abu di atas kepalanya, mengoyak jubahnya, dan pergi sambil menutup mukanya dengan kedua-dua tangan serta menangis dengan pilu.
20. Ketika Absalom nampak Tamar, dia bertanya, “Adakah Amnon memperkosa adik? Sudahlah adikku, jangan terlalu sedih kerana hal itu. Dia itu abangmu, kerana itu janganlah beritahukan hal itu kepada sesiapa pun.” Maka Tamar tinggal di rumah Absalom; Tamar sangat sedih dan kesepian.
21. Apabila mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka.
22. Absalom sangat mendendami Amnon dan tidak mahu bercakap dengan dia lagi, kerana Amnon sudah merogol Tamar, adiknya.
23. Dua tahun kemudian, ketika pengguntingan bulu domba milik Absalom diadakan di Baal-Hazor yang berhampiran kota Efraim, Absalom mengundang semua putera raja datang ke sana.
24. Absalom menghadap raja dan berkata, “Ayahanda, saya mengadakan pesta sempena pengguntingan bulu domba saya. Sudilah ayah datang ke pesta itu bersama dengan para pegawai ayah.”
25. Tetapi raja menjawab, “Jangan, anakku. Jika kami semua datang, kami akan menyusahkan engkau.” Absalom terus mendesak, tetapi ayahnya tetap tidak mahu datang. Baginda hanya memberikan restu kepadanya.
26. Kemudian Absalom berkata, “Jika demikian, benarkanlah saudara saya Amnon ikut kami.”Raja bertitah, “Tidak usahlah dia ikut.”
27. Tetapi Absalom terus mendesak sehingga akhirnya Raja Daud membenarkan Amnon dan semua puteranya yang lain ikut Absalom.Absalom menghidangkan makanan yang mewah sekali.