3. tetapi si miskin itu hanya mempunyai seekor anak domba yang dibelinya. Dia memelihara anak domba itu di dalam rumahnya bersama dengan anak-anaknya. Anak domba itu diberi makan daripada makanan orang itu, minum daripada cawannya, dan tidur di pangkuannya. Pendek kata, anak domba itu diperlakukan seperti anak perempuannya sendiri.
4. Pada suatu hari, ada tetamu tiba di rumah si kaya. Si kaya tidak mahu menyembelih domba atau lembunya sendiri supaya dimasak untuk menjamu tetamu itu. Sebaliknya, dia mengambil anak domba si miskin itu supaya dimasak untuk tetamunya.”
5. Setelah mendengar hal itu, Raja Daud sangat murka terhadap perbuatan orang kaya itu, sehingga Raja Daud bertitah, “Beta bersumpah demi TUHAN yang hidup bahawa si kaya itu mesti dihukum mati!
6. Orang itu mesti mengganti anak domba itu empat kali ganda, kerana perbuatannya itu sangat kejam.”
7. Natan berkata kepada Raja Daud, “Tuanku adalah orang itu! Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah umat Israel, ‘Aku sudah melantik engkau menjadi raja Israel dan menyelamatkan engkau daripada Saul.
8. Aku sudah memberikan kerajaan Saul dan isteri-isterinya kepadamu. Bahkan engkau sudah Aku jadikan raja Israel dan Yehuda. Jika semuanya ini masih belum cukup, tentu Aku akan memberi engkau sebanyak dua kali ganda lagi.
9. Tetapi mengapa engkau melawan perintah-Ku? Mengapa engkau melakukan perkara yang jahat itu? Engkau sengaja membiarkan Uria terbunuh di medan peperangan. Engkau membiarkan orang Amon membunuh dia, lalu engkau mengambil isterinya!
10. Oleh sebab engkau tidak mentaati Aku dan engkau mengambil isteri Uria, maka dalam setiap generasi keturunanmu akan ada yang mati terbunuh.
11. Aku bersumpah akan menimpa engkau dengan kesusahan yang disebabkan oleh anggota keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu sendiri, lalu Aku akan memberikan mereka kepada orang lain yang akan berseketiduran dengan mereka secara terang-terang.
12. Engkau berbuat dosa secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan membiarkan hal yang sama terjadi secara terang-terang di hadapan segenap umat Israel.’ ”
13. Raja Daud bertitah kepada Natan, “Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap TUHAN.”Natan menjawab, “TUHAN sudah mengampuni tuanku, dan tuanku tidak akan mati.
14. Tetapi kerana tuanku telah menghina TUHAN dengan perbuatan itu, putera tuanku yang baru lahir itu akan mangkat.”
15. Kemudian Natan pulang ke rumahnya.Putera Raja Daud yang dilahirkan oleh Batsyeba, bekas isteri Uria, dibiarkan TUHAN menjadi sakit tenat.
16. Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk.
17. Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka.