2 Samuel 12:20-31 Alkitab Berita Baik (BM)

20. Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan.

21. Para pegawai baginda berkata kepadanya, “Hamba sekalian tidak faham, tuanku. Ketika putera tuanku masih hidup, tuanku berpuasa dan menangisi dia. Tetapi sebaik saja dia mangkat, tuanku bangun lalu makan!”

22. “Ya,” jawab Raja Daud, “memang beta berpuasa dan menangis ketika anak itu masih hidup kerana beta berfikir, mungkin TUHAN akan mengasihani beta dan membolehkan anak itu hidup.

23. Tetapi sekarang, setelah dia mangkat, apakah gunanya beta terus berpuasa? Dapatkah beta menghidupkan dia semula? Nanti beta akan pergi juga ke tempat dia berada, tetapi sekarang dia tidak akan kembali kepada beta.”

24. Raja Daud menghibur hati Batsyeba isterinya, lalu berseketiduran dengan dia. Kemudian Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Salomo oleh Raja Daud. TUHAN mengasihi anak itu

25. dan menyuruh Nabi Natan menamakan anak itu Yedija, kerana TUHAN mengasihi dia.

26. Sementara itu Yoab masih bertempur untuk merebut Raba, ibu kota negeri Amon, dan dia telah hampir merebut kota itu.

27. Oleh itu dia mengirim utusan kepada Raja Daud dan melaporkan, “Hamba telah menyerang Raba dan merampas bekalan airnya.

28. Sekarang, sudilah tuanku mengumpulkan tentera kita yang lain, lalu memimpin serangan untuk merebut kota itu. Dengan demikian tidak akan dikatakan orang bahawa hamba yang merebut kota itu.”

29. Kemudian Raja Daud mengumpulkan segenap tenteranya lalu menyerang Raba. Baginda menyerbu dan mengalahkan kota itu.

30. Raja Daud mengambil mahkota raja mereka lalu memakainya. Mahkota itu seberat kira-kira 35 kilogram dan bertatahkan permata indah. Raja Daud juga membawa banyak sekali barang jarahan dari kota itu.

31. Selain itu penduduknya digiring dan disuruh membawa gergaji, cangkul besi, kapak besi, lalu mereka dipaksa bekerja di tempat pembuatan batu bata. Perkara itu dilakukannya juga kepada penduduk kota-kota Amon yang lain. Selepas itu Raja Daud dan semua tenteranya kembali ke Yerusalem.

2 Samuel 12