2 Samuel 12:13-20 Alkitab Berita Baik (BM)

13. Raja Daud bertitah kepada Natan, “Sesungguhnya beta sudah berdosa terhadap TUHAN.”Natan menjawab, “TUHAN sudah mengampuni tuanku, dan tuanku tidak akan mati.

14. Tetapi kerana tuanku telah menghina TUHAN dengan perbuatan itu, putera tuanku yang baru lahir itu akan mangkat.”

15. Kemudian Natan pulang ke rumahnya.Putera Raja Daud yang dilahirkan oleh Batsyeba, bekas isteri Uria, dibiarkan TUHAN menjadi sakit tenat.

16. Raja Daud berdoa kepada Allah bagi kesembuhan anak itu. Raja Daud berpuasa dan setiap malam baginda berbaring di lantai biliknya semalam suntuk.

17. Para pegawai istana cuba membujuk Raja Daud supaya bangun, tetapi baginda tidak mahu. Baginda tidak mahu makan bersama-sama mereka.

18. Seminggu kemudian anak itu mangkat, dan para pegawai Raja Daud takut untuk memberitahukan hal itu kepada baginda. Kata mereka, “Pada masa anak itu masih hidup, raja tidak mahu mendengarkan kita ketika bercakap dengan raja. Apalagi sekarang sesudah putera raja mangkat! Jangan-jangan raja akan nekad, lalu menyakiti diri baginda sendiri!”

19. Apabila Raja Daud nampak mereka berbisik-bisik, baginda sedar bahawa anak itu sudah mangkat. Oleh itu baginda bertanya kepada mereka, “Adakah anak itu sudah mangkat?”“Ya,” jawab mereka.

20. Kemudian Raja Daud bangun dari lantai, mandi, menyikat rambut, dan menukar pakaian. Selepas itu baginda pergi beribadat di Rumah TUHAN. Kemudian baginda kembali ke istana, minta dihidangkan makanan, lalu makan.

2 Samuel 12