2 Samuel 11:15-27 Alkitab Berita Baik (BM)

15. Demikianlah kandungan surat itu, “Suruhlah Uria pergi ke barisan hadapan, tempat pertempuran yang paling sengit. Setelah itu perintahkanlah pasukanmu undur tanpa pengetahuan Uria, supaya Uria terbunuh.”

16. Maka sementara Yoab mengepung kota itu, dia menyuruh Uria pergi ke tempat yang setahunya dikawal ketat oleh musuh.

17. Apabila musuh keluar dari kota untuk menyerang pasukan Yoab, beberapa orang pegawai tentera Raja Daud terbunuh, termasuk Uria.

18. Kemudian Yoab mengirim laporan kepada Raja Daud untuk memberitahu baginda tentang keadaan peperangan.

19. Inilah perintah Yoab kepada utusan itu, “Setelah engkau menceritakan segalanya tentang pertempuran itu,

20. mungkin raja akan murka dan bertitah, ‘Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan kota itu ketika berperang? Tidakkah kamu tahu bahawa musuh tentu akan memanah kamu dari atas tembok kota?

21. Tidakkah kamu ingat bagaimana Abimelekh anak Gideon terbunuh dahulu? Dia terbunuh kerana terkena batu kisaran yang dilemparkan oleh seorang perempuan dari tembok kota di Tebes. Mengapa kamu pergi terlalu dekat dengan tembok kota?’ Jika raja bertanya demikian, katakanlah bahawa Uria, pegawai tentera raja juga terbunuh.”

22. Utusan itu pergi menghadap Raja Daud lalu melaporkan apa yang telah diperintahkan oleh Yoab.

23. Dia berkata, “Musuh lebih kuat daripada kami. Mereka keluar dari kota dan berperang dengan kami di padang, tetapi kami dapat memukul mundur mereka sehingga balik ke pintu gerbang kota.

24. Kemudian mereka memanah kami dari atas tembok kota. Demikianlah beberapa orang pegawai tentera tuanku terbunuh. Uria, pegawai tentera tuanku, juga terbunuh.”

25. Raja Daud berkata kepada utusan itu, “Kuatkanlah hati Yoab. Katakanlah kepadanya, ‘Jangan kecil hati, kerana memang tidak dapat dipastikan siapa yang akan terbunuh di medan peperangan.’ Suruhlah dia melancarkan serangan yang lebih kuat terhadap kota itu sampai kota itu ditaklukkan.”

26. Apabila Batsyeba mendengar bahawa suaminya telah terbunuh, dia berkabung baginya.

27. Setelah habis masa berkabung, Raja Daud menjemput Batsyeba ke istana, lalu dia menjadi isteri Raja Daud. Beberapa bulan kemudian, Batsyeba melahirkan seorang anak lelaki, tetapi TUHAN tidak berkenan dengan apa yang sudah dilakukan oleh Raja Daud.

2 Samuel 11