10. Maka saya mendekati baginda lalu membunuhnya, kerana saya tahu bahawa secepat baginda jatuh, baginda tentu mati juga. Saya menanggalkan mahkota dari kepalanya dan gelang dari lengannya, lalu membawa semuanya kepada tuan.”
11. Setelah mendengar hal itu, Daud mengoyakkan pakaiannya kerana dukacita. Semua anak buahnya juga berbuat demikian.
12. Mereka meratap, berkabung, dan berpuasa sepanjang hari bagi Raja Saul dan Yonatan, dan bagi Israel umat TUHAN, kerana sangat banyak orang yang terbunuh dalam pertempuran.
13. Kemudian Daud bertanya kepada pemuda yang membawa berita itu, “Dari manakah asalmu?”Pemuda itu menjawab, “Saya orang Amalek, tetapi menetap di negeri tuan.”
14. Daud bertanya kepadanya, “Mengapa engkau berani membunuh raja pilihan TUHAN?”
15. Kemudian Daud memanggil salah seorang daripada anak buahnya dan memberikan perintah, “Bunuhlah dia!” Orang itu menikam pemuda Amalek itu sampai mati.
16. Daud berkata kepada orang Amalek itu, “Ini kesalahanmu sendiri. Engkau telah menjatuhkan hukuman mati atas dirimu sendiri kerana mengaku bahawa engkaulah yang membunuh raja pilihan TUHAN.”
17. Kemudian Daud meratapi Raja Saul dan puteranya, Yonatan.
18. Daud memerintahkan supaya lagu ratapan ini diajarkan kepada suku Yehuda. (Lagu ratapan ini ditulis di dalam Kitab Yasar).
19. “Para pemimpin kita dibunuh di bukit-bukit Israel!Pahlawan-pahlawan kita sudah gugur!